AmBank tampil wajah baharu cawangan mercu utama Kelawei

Iklan
(Dari kiri) Pengurus Cawangan AmBank Jalan Kelawei, Velin Foo Bee Ling; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Jamie Ling; Pengerusi AmBank (M) Berhad, U Chen Hock; Pengarah Urusan Perbankan Runcit Kumpulan AmBank, Cheong Chee Wai dan Pengarah Urusan Pengurusan Kekayaan Kumpulan AmBank, Goh Wee Peng.

KUMPULAN AmBank memperkenalkan semula cawangan mercu utamanya di Jalan Kelawei, Pulau Pinang dengan wajah baharu yang menggabungkan seni bina warisan dan konsep perbankan moden.

Langkah itu sekali gus memperkukuh tawaran perkhidmatan kepada golongan berpendapatan tinggi serta menyediakan pengalaman perbankan dan pengurusan kekayaan yang lebih eksklusif kepada pelanggan.

Iklan
Iklan

Cawangan yang beroperasi di sebuah banglo warisan Kelas 2 itu menghimpunkan perkhidmatan AmBank SIGNATURE Priority Banking (AmSPB) dan AmPrivate Banking di bawah satu bumbung, bagi memenuhi keperluan kewangan pelanggan yang semakin kompleks.

Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan kumpulan perbankan itu dalam memperkukuh hubungan dengan pelanggan melalui khidmat nasihat kewangan yang diperibadikan, perkhidmatan berasaskan kepercayaan serta penyelesaian pengurusan kekayaan yang komprehensif.

Iklan

Pengarah Urusan Perbankan Runcit Kumpulan AmBank, Cheong Chee Wai berkata, cawangan utama Kelawei mencerminkan komitmen AmBank dalam meningkatkan standard perbankan untuk golongan berpendapatan tinggi menerusi gabungan hubungan insani dan pendekatan pengurusan kekayaan yang lebih canggih serta diperibadikan.

"Golongan pelanggan berpendapatan tinggi hari ini mencari lebih daripada sekadar produk kewangan.

Iklan

"Mereka menghargai nasihat yang boleh dipercayai, kemudahan, privasi serta hubungan perbankan yang memahami aspirasi dan keperluan peribadi mereka. Cawangan utama Kelawei ini direka berlandaskan falsafah tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pengurusan Kekayaan Kumpulan AmBank, Goh Wee Peng berkata, gabungan perkhidmatan AmBank SIGNATURE Priority Banking dan AmPrivate Banking membolehkan kumpulan itu menawarkan pengurusan hubungan yang berdedikasi, perbankan yang diperibadikan serta penyelesaian pengurusan kekayaan dalam persekitaran yang lebih eksklusif.

"Melalui AmBank SIGNATURE Priority Banking dan AmPrivate Banking, kami menggabungkan pengurusan hubungan yang berdedikasi, perkhidmatan perbankan yang diperibadikan serta penyelesaian pengurusan kekayaan dalam suasana eksklusif yang mencerminkan kualiti pelanggan kami dan mutu pengalaman yang ingin kami tawarkan.

"Kelawei menjadi platform penting untuk kami memperkukuh hubungan dengan pelanggan sedia ada, di samping mengalu-alukan generasi baharu rakyat Malaysia yang berpendapatan tinggi untuk menikmati pengalaman AmBank SIGNATURE dan Private Banking," katanya.

Transformasi cawangan Kelawei berteraskan usaha menghidupkan semula bangunan warisan dengan mengekalkan ciri seni bina asalnya, sambil menerapkan elemen kontemporari yang selaras dengan keperluan perbankan swasta moden.

Terletak di salah satu koridor warisan utama George Town, Jalan Kelawei mempunyai nilai sejarah dan seni bina yang mencerminkan perkembangan budaya serta identiti Pulau Pinang.

Menerusi pengubahsuaian yang teliti, AmBank memberikan fungsi baharu kepada bangunan bersejarah itu tanpa mengetepikan nilai warisannya.

Pendekatan tersebut diterjemahkan melalui konsep"Warisan yang Diberi Nafas Baharu", yang menggabungkan seni bina bersejarah dengan kemudahan perbankan kontemporari serta persekitaran yang mengutamakan privasi, layanan peribadi dan pengalaman pelanggan.

Sempena pelancaran semula cawangan utama Kelawei, AmBank turut memperkenalkan kempen khas AmBank SIGNATURE Priority Banking yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 31 Disember 2026, menawarkan pelbagai penyelesaian perbankan diperibadikan bersama ganjaran eksklusif.

Kempen itu menampilkan empat tawaran utama, antaranya Kempen Pemerolehan AmSPB yang menawarkan satu set hadiah 24K Gold Leaf Luxury Body Care Series kepada pelanggan yang mendaftar sebagai ahli AmBank SIGNATURE Priority Banking.

Menerusi Kempen AmSPB Golden Wealth pula, pelanggan baharu segmen pengurusan kekayaan yang melabur dalam Amanah Saham/Amanah Saham Patuh Syariah atau Produk Berstruktur berpeluang menerima emas seberat 1 gram atau 2 gram bergantung pada tahap kelayakan masing-masing.

Selain itu, dua pelanggan yang layak turut berpeluang memenangi emas seberat 10 gram sebagai hadiah bonus, tertakluk pada terma dan syarat kempen.

Bagi hadiah pendaftaran Akaun Semasa atau Simpanan, pelanggan yang membuka akaun utama Semasa atau Simpanan/-i baharu dengan deposit Dana Baharu minimum RM5,000 akan menerima patung AmBank Aman Camel.

Bagi hadiah pendaftaran Bancassurance atau Bancatakaful pula, pelanggan yang mendaftar dengan premium atau sumbangan tahunan minimum RM30,000 akan menerima set kit perjalanan eksklusif.

Kempen berkenaan dirangka bagi melengkapkan pelancaran tersebut dengan memberi peluang kepada pelanggan AmSPB mengenali rangkaian penyelesaian pengurusan kekayaan dan perbankan AmBank, sambil menikmati pelbagai manfaat eksklusif.

Menjelang pelancaran rasmi, AmBank turut menganjurkan pertunjukan pemetaan unjuran pada fasad bangunan warisan cawangan Kelawei dari 4 hingga 6 Oktober 2026 yang menyaksikan pendedahan tema"AmBank Jalan Kelawei: A Heritage Reimagined" atau"Warisan yang Ditafsir Semula".

Menerusi pengenalan semula cawangan mercu itu, AmBank berhasrat memperkukuh tawaran perbankan dan pengurusan kekayaan yang diperibadikan kepada pelanggan berpendapatan tinggi di Pulau Pinang, di samping terus menghargai dan memelihara warisan seni bina George Town.