SHAH ALAM - Daripada seorang yang takut berada di tanah perkuburan, seorang wanita dari Kajang kini menganggap kawasan perkuburan sebagai tempat yang tenang dan mendamaikan.
Penjaga kubur, Nurain Fatin Abdul Rasid, 33, berkata, ketakutan terhadap suasana perkuburan yang dialaminya pada awal menceburi pekerjaan itu semakin hilang selepas beliau kerap berada di situ untuk menjalankan tugas.
Menurutnya, pada peringkat awal dia masih berasa takut dan berdebar terutama ketika bekerja seorang diri selepas suaminya, Zaroddy Zaffey, 31, meninggalkan kawasan berkenaan untuk melakukan tugasan lain.
“Memang saya seorang yang penakut. Ketika mula-mula masuk ke tanah perkuburan, perasaan takut itu memang ada, lebih-lebih lagi apabila bekerja seorang diri.
Sebelum ini, Nurain Fatin berkongsi video menjaga kubur melalui akaun TikTok 'Sis Kubur' yang meraih antara 592,300 hingga 617,800 tontonan.
Nurain Fatin berkata, perkara yang pada awalnya dianggap menakutkan itu akhirnya membuatkan beliau melihat tanah perkuburan daripada perspektif berbeza.
“Sekarang bila duduk di kubur, rasa sunyi dan tenang sebab suasananya senyap, ada angin. Sebenarnya tempat ini tenang,” katanya graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Seni, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Beliau menambah, penglibatannya dalam bidang tersebut bermula selepas mengikuti suaminya yang sudah hampir empat tahun melakukan kerja berkaitan pengurusan kubur.
Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, pada awalnya dia hanya menemani suaminya bagi menghasilkan kandungan video memandangkan minatnya terhadap bidang berkenaan.
“Suami saya memang buat kerja-kerja kubur. Tahun lepas saya mula ikut dia pergi kerja sebab saya suka buat video dan kandungan. Daripada situ saya mula terlibat dan tercetus idea untuk menawarkan khidmat penjagaan kubur,” kongsinya.
Wanita dikenali sebagai 'Sis Kubur' menyatakan, idea itu timbul selepas mendapati terdapat masalah rumput yang ditanam atas kubur mati dan perlu diganti apabila tiada khidmat penyelenggaraan disediakan.
Katanya, dia kemudian mencuba menjaga kubur arwah bapa sebelum seorang waris yang melihat hasil kerjanya meminta supaya turut menjaga kubur ahli keluarganya.
“Dari situ bermula. Lama-lama ia tersebar dan semakin ramai yang meminta saya menjaga kubur,” kata Nurain Fatin lagi.
Menurutnya, dia kini melakukan pekerjaan itu secara sepenuh masa dan mengurus sendiri jadual serta jumlah kubur yang perlu diselenggara.
“Biasanya saya buat secara purata enam kubur sehari. Kalau nak ambil cuti dua hari, saya akan buat lebih banyak kubur pada hari bekerja.
“Maksimum pernah buat 13 kubur sehari. Memang penat sebab selepas itu saya hanya rehat kira-kira setengah jam sebelum sambung kerja,” katanya.
Jelas wanita itu, tugas berkenaan merangkumi membersihkan kawasan kubur, memotong rumput dan menjaga landskap di sekeliling pusara.
Katanya, bayaran dikenakan antara RM50 hingga RM100 bergantung kepada jenis dan saiz kubur, manakala penjagaan rumput memerlukan perhatian khusus termasuk penyiraman air yang banyak.
“Kadang-kadang untuk satu kubur, saya perlu siram menggunakan empat hingga lima tong air yang setiap satunya 10 liter. Memang kena siram betul-betul terutama rumput yang memerlukan banyak air,” katanya.
Nurain Fatin memberitahu, dia sentiasa memastikan setiap kubur dijaga dengan teliti seolah-olah milik keluarga sendiri kerana menganggap tugas tersebut sebagai satu amanah.
Menurutnya lagi, kemahiran yang dipelajari ketika di universiti dan pengalaman bekerja sebelum ini masih digunakan dalam menguruskan perkhidmatan penjagaan kubur.
Dalam pada itu, Nurain Fatin meluahkan rasa syukur kerana tidak berdepan pandangan negatif, sebaliknya penerimaan semua orang baik-baik kerana memilih pekerjaan berkenaan.