‘Mak suruh masuk universiti’ - Kembar hilang ibu, dua adik serentak sebelum SPM

Iklan
Suhaimin bersama arwah isteri dan anak-anak ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.

TANJONG KARANG - Hanya tinggal kira-kira dua minggu sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kembar berusia 17 tahun terpaksa berdepan kehilangan ibu bersama dua adik selepas maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Raja Muda Musa di sini pada Khamis.

Lebih memilukan apabila pesanan terakhir ibunya, Norawalysa Mat Talpi, 44, supaya mereka belajar bersungguh-sungguh dan memperoleh keputusan cemerlang menjadi kata-kata terakhir yang akan terus dikenang oleh Auni Syafiqah Suhaimi dan Auni Syafiah dalam menghadapi SPM.

Iklan
Iklan

Auni Syafiqah berkata, ibunya sempat berpesan supaya mereka belajar bersungguh-sungguh ketika mereka bertemu buat kali terakhir pada awal pagi sebelum masing-masing ke sekolah.

"Mak suruh belajar rajin-rajin dan buktikan kebolehan, namun kata-kata itulah yang saya ingat sampai sekarang," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanjong Karang di sini pada Khamis.

Iklan

Dalam kejadian kira-kira jam 1.37 tengah hari pada Khamis itu, Proton Exora dinaiki empat beranak merempuh belakang sebuah lori 20 tan.

Kemalangan itu menyebabkan Norawalysa maut bersama anak perempuannya, Auni Syazana Suhaimi, 12, dan anak bongsunya, Ahmad Syah Fawwaz Suhaimi,8.

Iklan

Seorang lagi anak lelakinya, Ahmad Syah Fitri bin Suhaimi, 10, tahun cedera di kepala selepas berjaya dikeluarkan orang awam sebelum pihak bomba tiba.

Mengulas lanjut, Auni Syafiqah berkata, ibunya yang juga seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bestari Jaya turut berharap dapat melihat dia melanjutkan pengajian ke universiti selepas tamat SPM.

"Harapan mak hendak saya ke menara gading dan saya cuba tunaikan apa yang mak pesan," jelasnya.

Auni Syafiqah berkata, dia hanya mengetahui mengenai kemalangan itu selepas menerima gambar kemalangan kereta yang dihantar menerusi telefon bimbit ketika berada di sekolah.

"Saya terkejut sebab ketika itu masih di sekolah, malah kawan dan guru beritahu supaya saya kuat.

"Pada awalnya saya tidak percaya tetapi apabila balik rumah dan tengok WhatsApp, baru saya tahu apa yang berlaku," tambahnya.

Katanya, sebagai anak sulung, dia kini perlu menguatkan diri dan menggalas tanggungjawab lebih besar selepas kehilangan ibu kesayangan.

Sementara itu, Auni Syafiah berkata, pertemuan terakhir bersama ibunya juga berlaku pagi Khamis sebelum dia keluar ke sekolah.

"Semasa saya hendak bangun sahur, ibu beritahu tidak sempat masak dan suruh saya makan roti.

"Sebelum ibu pergi, saya sempat salam dengan ibu. Kenangan itulah yang saya ingat sampai saat ini," kayanya.

Menurutnya, ibunya tidak pernah menetapkan universiti tertentu untuknya, sebaliknya hanya mahu dia belajar bersungguh-sungguh dan mendapat keputusan cemerlang.

"Ibu tidak kisah saya hendak sambung belajar di mana, asalkan belajar elok-elok dan dapat keputusan yang bagus," ujarnya.

Sementara itu, suami mangsa, Suhaimi Mohamad Jajuli, 44, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas selesai menjalankan tugas di sekolah.

"Selepas habis mengajar saya ada program di sekolah dan kemudian solat dulu sebelum perasan ada WhatsApp masuk.

"Guru besar ada hubungi dan selepas itu saya tengok dalam whatsApp keluarga, ada gambar kemalangan kereta, namun tidak tahu bagaimana keadaan mereka ketika itu,” katanya.

Menurutnya, kemalangan itu berlaku ketika isteri bersama tiga anak mereka dalam perjalanan pulang dari SK Bestari Jaya ke rumah mereka di Parit Serong, Tanjong Karang.

Suhaimi berkata, perkahwinannya bersama Allahyarham isteri sudah memasuki tahun ke-18 dan sepanjang tempoh itu, wanita itu banyak menguruskan keperluan anak-anak terutama urusan persekolahan.

"Arwah isteri sangat baik dengan keluarga dan tidak berkira, malah kalau urusan anak-anak sekolah rendah, memang banyak dia uruskan," jelasnya.

Suhaimi berkata, dia kini hanya mampu menguatkan hati dan meminta anak-anaknya terutamanya kembar supaya terus tabah menghadapi peperiksaan SPM walaupun kehilangan ibu serta dua adik mereka.

Menurutnya, anaknya Ahmad Syah Fitri yang turut terlibat dalam kemalangan itu kini berada dalam keadaan stabil dan masih dipantau doktor.

Katanya, anaknya itu tidak mengetahui sepenuhnya mengenai kejadian kerana ketika kemalangan, dia sedang tidur di bahagian belakang kenderaan.

"Alhamdulillah, dia stabil, cuma masih perlu dipantau.

"Kebetulan semasa kejadian dia duduk di kerusi belakang, selalunya dia duduk sebelah kakaknya (Auni Syazana) yang meninggal dalam kejadian itu," katanya.

Suhaimi berkata, tiada perubahan pelik ditunjukkan isterinya sebelum kejadian dan rutin pagi mereka berjalan seperti biasa.

"Pagi tadi arwah cuma mengadu sakit perut, tapi dia tetap pergi sekolah,” katanya.

Lebih menyayat hati, katanya, anak bongsunya, Ahmad Syah Fawwaz sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran yang kelapan pada 19 Oktober ini.

Suhaimi berkata, mereka pada asalnya bercadang menyambutnya secara sederhana di rumah.

"Memang saya dan arwah ada rancang sambut ulang tahun anak di rumah saja, malah sudah belikan hadiah lebih awal, tapi luluh hati saya apabila dia sudah tiada lagi di dunia ini," jelasnya.