KUALA LUMPUR - Pembangunan bakat negara perlu diterjemahkan kepada pekerjaan berkualiti dan pendapatan tinggi untuk rakyat, selaras dengan usaha memperkukuh ekonomi bernilai tinggi.
Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri R Ramanan berkata, peningkatan kemahiran, produktiviti, pekerjaan dan pendapatan rakyat perlu bergerak bersama-sama.
Beliau berkata, pembangunan bakat juga perlu bergerak seiring dengan hala tuju ekonomi negara, khususnya ketika teknologi, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan ekonomi hijau terus mengubah pekerjaan serta kemahiran yang diperlukan.
"Kita tidak boleh bercakap tentang ekonomi bernilai tinggi tetapi masih mempunyai pekerjaan bernilai rendah. Kemahiran, produktiviti, pekerjaan dan pendapatan mesti bergerak bersama-sama.
"Kalau kemahiran naik, produktiviti naik, tapi gaji pun mesti pun naik. Apa juga peluang yang akan datang, tanggungjawab kita di KESUMA adalah untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa bersedia untuk merebutnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu MyBakat anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) di sini pada Khamis.
Terdahulu, TalentCorp menandakan fasa baharu dalam perjalanan 15 tahunnya memacu agenda bakat negara dengan memperkenalkan MyBakat, yang menghimpunkan inisiatif pembangunan bakat tempatan TalentCorp di bawah satu kerangka yang lebih jelas dan saling berhubung.
Inisiatif itu diperkenalkan sempena penganjuran sulung Minggu MyBakat 2026 oleh TalentCorp yang menarik 3,000 peserta, termasuk bakat, majikan, pemain industri, kerajaan, institusi pendidikan dan latihan serta rakan strategik.
Acara itu turut menyaksikan pengenalan Platform Indeks Kesiapsiagaan Bakat Nasional (MyTRI) dan Program Inkubasi MyBakat (MyBIG), dua intervensi bagi membantu TalentCorp mengenal pasti kesiapsiagaan serta jurang bakat, selain membangunkan bakat berdasarkan keperluan industri.
Beliau berkata, TalentCorp sebagai agensi pemikir strategik di bawah KESUMA membantu Kerajaan memahami keperluan bakat negara, menjangka perubahan dalam pasaran kerja serta memastikan pembangunan bakat sentiasa selari dengan keperluan ekonomi dan industri.
Menurutnya, melalui National Talent Incubation Ecosystem (NTIE) dan model Future Skills Talent Council (FSTC) oleh TalentCorp, industri dilibatkan sejak awal dalam merangka latihan yang relevan.
"Pendekatan ini membantu melahirkan bakat yang sedia industri dan kalis masa hadapan dengan laluan yang lebih jelas kepada kemahiran dan pekerjaan berkualiti, di samping memperkukuh daya saing Malaysia,” katanya.