Syahredzan bidas sikap membisu Majlis Peguam dalam isu eJamin

Iklan
Syahredzan

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan membidas sikap berdiam diri Majlis Peguam berhubung penemuan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai penggunaan sistem eJamin.

Menurut beliau, perkara itu wajar diberi perhatian kerana ia bukan sekadar melibatkan soal pentadbiran, sebaliknya mempunyai kaitan dengan pentadbiran keadilan dan sistem keadilan jenayah negara.

Iklan
Iklan

"Empat hari selepas PAC mengeluarkan penemuannya mengenai eJamin, kita masih menunggu maklum balas daripada Majlis Peguam. Malangnya, suara Majlis Peguam masih belum kedengaran sehingga kini. Amat mengecewakan.

"Malah, sekiranya Majlis Peguam mengeluarkan kenyataan hari ini sekalipun, ia sudah agak terlambat kerana perkara ini menyentuh tujuan dan kuasa Majlis Peguam Malaysia sendiri di bawah Seksyen 42 Akta Profesion Undang-Undang," katanya menerusi hantaran di media sosial pada Khamis.

Iklan

Laporan PAC sebelum ini mendedahkan, sistem eJamin bagi pengurusan perkhidmatan bayaran wang jaminan mahkamah didapati beroperasi tanpa Surat Pelantikan, Surat Setuju Terima (SST), Surat Menyatakan Hasrat (LOI) atau perjanjian kontrak rasmi dengan Kerajaan Persekutuan selama lima tahun.

Laporan tersebut turut mendapati, wang jaminan yang dibayar melalui sistem eJamin didapati dimasukkan ke akaun komersial syarikat, manakala kegagalan memperakukannya ke dalam Akaun Amanah Disatukan didapati melanggar Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957.

Iklan

Mengulas lanjut, wakil rakyat DAP itu turut menegaskan, selaku pihak yang mempunyai peranan penting dalam menyuarakan pandangan berkaitan isu undang-undang serta pentadbiran keadilan, pendirian Majlis Peguam adalah penting.

"Saya agak yakin sekiranya perkara ini berlaku ketika saya berkhidmat di Majlis Peguam beberapa tahun lalu, Presidennya pasti akan memberikan sekurang-kurangnya satu bentuk maklum balas, jika tidak pun kenyataan media penuh.

"Sepatutnya, sekurang-kurangnya satu bentuk maklum balas telah diberikan," katanya.