KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyelaraskan peraturan tatatertib di semua universiti awam bagi memastikan mahasiswa tidak dikenakan layanan berbeza terutama dari segi hak kebebasan bersuara, berpersatuan dan berhimpun secara aman.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu perlu dibuat berikutan terdapat percanggahan antara peraturan yang ditetapkan oleh universiti.
“Kita akan lihat kekangan-kekangan terhadap kebebasan mahasiswa itu termasuk juga dari segi peraturan tatatertib (kerana) peraturan yang ditetapkan setiap universiti itu kita lihat ada percanggahan.
“Ada universiti boleh buat ini (perkara tertentu), ada universiti itu tidak boleh buat (perkara itu). Seluruh aspek itu kita ambil kira, kita pastikan hal-hal yang demikian tidak berlaku.
“Contohnya (dari segi lelaki) berambut panjang, di unversiti ini boleh, di universiti itu tak boleh. Atau kritikan, di tempat ini boleh, di tempat itu tak boleh. Jadi ini perkara-perkara dari segi pelarasan di peringkat universiti (yang perlu dibuat),” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat pada Khamis.
Zambry berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai jaminan kerajaan berhubung kebebasan mahasiswa mengkritik tanpa dikenakan tindakan menerusi akta baharu yang akan digubal bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
Zambry memaklumkan, KPT juga telah mengambil langkah segera dengan menghentikan prosiding tatatertib berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan secara aman di universiti awam.
“Kita ambil langkah segera iaitu segala tindakan-tindakan tatatertib yang telah dilakukan selama ini telah digugurkan. Tapi sekiranya ada perkara-perkara (kesalahan) serius yang berkaitan dengan mereka (mahasiswa) maka ia tertakluk kepada perundangan negara,” ujarnya.
Tegasnya, pelarasan peraturan universiti itu akan menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan membangunkan kerangka perundangan pendidikan tinggi baharu.
Zambry memaklumkan, kerajaan juga sedang meneliti kemungkinan menggabungkan pelbagai undang-undang berkaitan pendidikan tinggi di bawah satu kerangka ‘One Higher Education Act’.
Kata beliau, kerangka baharu itu akan melihat keseluruhan perubahan ekosistem pendidikan tinggi termasuk kedudukan perkembangan politeknik serta pendidikan pra-universiti seperti matrikulasi.
“Ini antara cadangan yang akan dimasukkan dalam ‘One Higher Education Act’ termasuk dengan melihat keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi dan institusi-institusi yang berada di dalamnya.
“Ia supaya nanti apabila kita bentangkan akta baharu ini, ia akan merangkumi semua untuk tempoh 10, 20 malah 30 tahun akan datang,” katanya.