SHAH ALAM - Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dalam tempoh terdekat bagi membincangkan langkah susulan berhubung keadaan jerebu termasuk bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 200 di Kajang.
Amirudin berkata, kerajaan negeri bersedia membantu pihak sekolah dari segi pemberian pelitup muka sekiranya keadaan memerlukan tindakan susulan.
"Saya akan jumpa dengan Jabatan Pendidikan dalam tempoh terdekat. (Mungkin) hari ini, (atau) esok.
"Kita lihat apa langkah-langkah susulan segera yang boleh kita buat," katanya ketika ditemui selepas Program Jelajah Sejahtera MADANI Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0 di sini pada Khamis.
Amirudin menjelaskan, JPN Selangor mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan berhubung keadaan jerebu di sekolah berdasarkan bacaan IPU yang direkodkan.
"Setakat ini Kajang dah sampai 200 berdasarkan laporan, namun kuasa (penutupan sekolah) itu pada Jabatan Pendidikan," ujar beliau.
Bagaimanapun, Amirudin berkata, keadaan ketika ini masih dibantu dengan kehadiran hujan selain peralihan monsun yang dijangka berlaku pertengahan Oktober.
Beliau memberitahu, berdasarkan pemantauan sumber air mentah di negeri ini masih mencukupi.
"Kita monitor untuk setakat bulan lepas (bekalan air mentah di Selangor) masih boleh bertahan minimum enam bulan dan maksimum sembilan bulan.
"Kita tidak mempunyai masalah air mentah dan yakin ia mencukupi untuk rakyat," jelas beliau.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri turut memantau keadaan cuaca susulan fenomena Super El Nino yang dijangka berpanjangan antara Februari sehingga April tahun depan.
"Fenomena Super El Nino ini menyebabkan kita akan berdepan cuaca panas dan kekurangan hujan," jelas beliau.