KEJADIAN jenayah melibatkan pelajar sekolah sebenarnya bukan cerita baharu. Daripada dahulu lagi, kita pernah membaca berita tentang kejadian buli yang membawa maut berlaku di asrama sekolah.
Antara yang masih membekas di ingatan adalah kejadian buli sehingga membawa maut di Sekolah Menengah Agama Dato Klana Petra Maamor, Ampangan Negeri Sembilan pada tahun 2004.
Terbaharu kes kematian remaja 16 tahun, Irene Sofiya, akibat trauma tumpul pada kepala di dewan sekolah, serta kes kematian Muhammad Idlan Farid Shahril (14 tahun) di sebuah sekolah sukan yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh).
Kita dengar berita sebegini dalam jarak masa yang agak lama antara satu tragedi dengan tragedi berikutnya.
Kini, perkembangan yang berlaku nampak luar biasa, mengejutkan, menakutkan dan memilukan hati kerana:
i) Tragedi kematian melibatkan pelajar sekolah, di dalam premis sekolah tidak lagi hanya melibatkan pelajar asrama, tetapi pelajar yang berulang alik ke sekolah,
ii) Berlaku di siang hari semasa guru-guru, pengawal dan pelajar-pelajar sedang menjalani aktiviti di sekolah,
iii) Jarak masa yang begitu dekat antara satu tragedi dengan tragedi berikutnya.
Kita harus sedar dan mula menerima hakikat bahawa ini 'penyakit' baharu zaman ini. Sebanyak 5,681 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Namun begitu, masalah tidak selesai dengan hanya meletakkan seluruh beban kesalahan ke atas Menteri Pendidikan seorang.
Masyarakat termasuk bijak pandai hanya mampu membuat andaian mengenai punca-punca kejadian ini berlaku. Saya sebut andaian kerana pandangan itu belum dibuktikan.
Tetapi sejauh mana perjalanan yang membentuk minda jenayah (criminal mind) seorang remaja sehingga mampu (tergamak) mencederakan dan membunuh pelajar yang lain dikaji?
Adakah ada satu pasukan khusus yang mengkaji latar kehidupan setiap pesalah muda ini dari usia kanak-kanak sehingga tarikh mereka melakukan jenayah?
Minda jenayah dan dorongan kuat untuk melakukan jenayah tidak dibentuk dalam masa sehari.
Kompilasi kajian/analisis merangkumi semua kes buli bunuh yang terkini harus digunakan untuk menentukan pendekatan baharu menghadapi jenayah remaja zaman ini.
Kajian yang lama kurang relevan dan tidak mewakili zaman ini. Hasil siasatan polis bahawa buli dan bunuh berlaku kerana kerana cinta ditolak, junior melanggar arahan atau rakan sebilik menuduh curi duit hanya berguna untuk dibawa ke mahkamah bagi proses keadilan.
Ia tidak mencukupi bagi merangka dasar dan polisi baharu pendidikan untuk mencegah kitaran jenayah yang sama.
Kajian yang mengenal pasti 'pattern' yang sama dalam kalangan semua pesalah muda memberikan asas yang jelas bagi memperolehi solusi yang tepat.
Jika tidak semua pihak hanya meneka dalam kesamaran. Jawapan dan respon pihak berwajib pula sekadar mahu menenangkan netizen yang tak pernah tenang. Penyakit tidak dirawat tetapi sekadar dibius sementara.Hilang kesan bius, meraung semula.
Saya yakin dengan penglibatan kerajaan, kajian sebegini tidak perlu memakan masa yang lama kerana pesalah-pesalah berada di penjara. 'Kehidupannya' (keluarga, rakan-rakan, media sosialnya) berada dalam radar penguatkuasa.
Kajian ini seterusnya perlu dibentangkan di Parlimen serta jawatankuasa yang dianggotai pemegang taruh melibatkan kanak-kanak dan sektor pendidikan.
Pelaksanaan dasar tidak akan hanya melibatkan Kementerian Pendidikan tetapi rentas kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Wanita Keluarga dan Masyarakat.
Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak boleh dipinda untuk disesuaikan dengan dasar dan polisi baharu pendidikan.
Isu kanak-kanak dan jenayah sangat dekat di hati saya. Saya 'bergelumang' dengan mereka. Menyelesaikan isu mereka bermaksud menyelamatkan jutaan anak-anak yang lain, memberikan ketenteraman kepada jutaan keluarga dan melindungi generasi beberapa dekad akan datang.
*** Mardhiyyah Johari ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Kedah dan seorang peguam