KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan mengeluarkan perkataan yang melukakan perasaan penganut agama Kristian, semasa berucap di Perhimpunan Agung UMNO 2026, tiga minggu lalu.
Noorazli, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Izzah Hasan Basri.
Mengikut pertuduhan, pemimpin itu didakwa sengaja melukakan perasaan penganut agama itu apabila melafazkan perkataan yang mengaitkan paderi Katolik dan biarawati di Dewan Merdeka, World Trade Centre, Jalan Tun Ismail, di sini pada jam 11.20 pagi 12 September lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam, Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan dikurangkan sekitar RM4,000 hingga RM5,000.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Nurul Izzah membenarkan Noorazli diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 November untuk sebutan kes.
Sebelum ini media melaporkan, ucapan seorang perwakilan ketika perhimpunan berkenaan, mencetuskan kontroversi apabila menjadikan paderi Katolik dan biarawati sebagai bahan jenaka.