Naikkan pendapatan rakyat sebelum pertimbang GST - Faiz Ahmad

Iklan
Faiz Ahmad

SHAH ALAM – Kerajaan perlu memastikan pendapatan rakyat dipertingkatkan terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), meskipun sistem berkenaan dilihat lebih berkesan dalam menambah hasil negara.

Pencipta Kandungan Ekonomi, Faiz Ahmad berkata, GST mempunyai kelebihan dari segi keberkesanan kutipan berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), namun pelaksanaannya perlu mengambil kira kemampuan rakyat menanggung beban cukai.

Iklan
Iklan

“Kalau kita laksanakan sekarang, memang hasil kita boleh bertambah, tetapi kerajaan mungkin masih berhati-hati kerana pendapatan rakyat rata-rata perlu naik dahulu.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Edisi 490 bertajuk ‘Belanjawan 2027: Gula-Gula Pilihan Raya atau Remedi Rancangan Malaysia?’ yang dihoskan oleh Ismail Adnan di Studio F Karangkraf pada Rabu.

Iklan

Beliau menjelaskan, GST dan SST mempunyai pendekatan berbeza kerana mekanisme sedia ada membolehkan kerajaan menentukan golongan yang dikenakan cukai serta kumpulan yang perlu dilindungi.

Dalam masa sama, sistem percukaian perlu bergerak seiring dengan usaha memperkukuh pendapatan rakyat, termasuk melalui pelaksanaan dasar gaji progresif.

Iklan

Faiz (kanan) menjadi panelis Wacana Sinar Edisi 490 bertajuk ‘Belanjawan 2027: Gula-Gula Pilihan Raya atau Remedi Rancangan Malaysia?’ yang dihoskan oleh Ismail Adnan di Studio F Karangkraf pada Rabu.

Faiz berkata, kerajaan mempunyai ruang menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk memberi tekanan pasaran yang lebih baik terhadap struktur upah.

“Dasar gaji progresif itu peruntukannya masih sangat minimum, jadi kita perlu fikir bagaimana nak jadikan dasar ini lebih berkesan kepada golongan pekerja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan sasaran menaikkan gaji minimum perlu mengambil kira kemampuan majikan, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mungkin berdepan kekangan menanggung peningkatan kos pekerja secara mendadak.

Menurut pencipta kandungan ekonomi itu, kerajaan boleh membantu majikan kurang berkemampuan menerusi program bersyarat melibatkan latihan dan peningkatan produktiviti sebelum insentif diberikan bagi menyokong kenaikan pendapatan pekerja.

“Kalau kita paksa semua majikan menaikkan gaji pada kadar yang sama, ada syarikat yang mungkin tidak mampu bertahan, terutama PMKS.

“Bantuan itu boleh diberikan berdasarkan syarat tertentu supaya majikan dapat memperbaiki keupayaan terlebih dahulu sebelum menerima sokongan kewangan,” katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada peningkatan taraf kehidupan rakyat supaya manfaat pembangunan tidak hanya tertumpu kepada peningkatan saiz Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

Menurutnya, peningkatan KDNK perlu disertai pertumbuhan pendapatan golongan berpendapatan rendah supaya manfaat ekonomi dapat dirasai secara lebih menyeluruh.

“Kalau KDNK kita naik tetapi pendapatan di peringkat bawah tidak bergerak seiring, kita belum boleh kata pertumbuhan itu benar-benar dirasai semua,” katanya.