KEMATIAN seorang pelajar berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Yong Peng baru-baru ini menyentuh hati masyarakat. Kehilangan ini amat berat buat keluarganya. Kita perlu menjaga sensitiviti keluarga mangsa dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. Kesimpulan tentang punca kejadian mesti bersandarkan fakta dan bukannya spekulasi.
Tragedi ini mengajak kita memikirkan makna keselamatan sekolah. Ibu bapa menghantar anak dengan harapan mereka dapat belajar dalam suasana yang terpelihara. Harapan itu merangkumi keselamatan fizikal serta kesejahteraan mental dan sosial. Anak-anak perlu berasa selamat dan yakin bahawa bantuan tersedia apabila diperlukan.
Usaha murni kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkukuh keselamatan sekolah wajar dipuji. Pemasangan CCTV serta audit keselamatan merupakan langkah penting untuk melindungi warga sekolah. Saluran aduan buli pula membolehkan pelajar dan ibu bapa menyampaikan kebimbangan. Komitmen ini perlu disokong melalui kerjasama masyarakat dan pelaksanaan berterusan.
Sebagai pensyarah kerja sosial, penulis berpandangan bahawa usaha tersebut perlu diperkukuh dengan sokongan psikososial yang merangkumi aspek psikologi dan sosial pelajar. Pagar dan kamera membantu menjaga keselamatan fizikal, tetapi kesejahteraan pelajar turut bergantung pada sokongan emosi dan hubungan yang baik dengan orang sekeliling.
Kebimbangan tentang pelajaran atau konflik keluarga boleh menjejaskan keupayaan mereka menghadapi tekanan dan mengurus perasaan. Ada pelajar yang mampu berkongsi masalah. Ada pula yang memendamnya kerana takut dimarahi atau dianggap lemah. Oleh itu, kehadiran orang dewasa yang peka dan sedia mendengar amat penting supaya kesukaran mereka dapat dikenal pasti dan bantuan diberikan lebih awal.
Pelajar yang mula kerap tidak hadir ke sekolah atau menjauhkan diri daripada rakan perlu didekati dengan prihatin. Perubahan ini tidak semestinya menunjukkan gangguan mental, tetapi mungkin menandakan kesukaran yang sedang dihadapi. Guru dan ibu bapa perlu memberi ruang untuk mereka bercerita agar keadaan sebenar dapat difahami.
Dalam praktis kerja sosial, teori sistem melihat kehidupan pelajar dalam hubungan yang saling berkait antara keluarga dengan sekolah, serta rakan sebaya dan komuniti. Konflik keluarga boleh mengganggu tumpuan terhadap pelajaran, manakala hubungan yang kurang baik dengan rakan sebaya boleh menjejaskan emosi dan keyakinan diri. Oleh itu, bantuan perlu diselaraskan melalui kerjasama pihak berkaitan supaya keperluan pelajar dapat ditangani secara menyeluruh.
Di sinilah pekerja sosial boleh melengkapi peranan guru dan kaunselor. Sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan pewujudan jawatan pekerja sosial di sekolah bagi melengkapi peranan guru dan kaunselor. Pekerja sosial boleh membantu menilai keperluan psikososial pelajar serta menghubungkan mereka dan keluarga dengan perkhidmatan yang bersesuaian. Cadangan ini boleh dilaksanakan secara berperingkat melalui kerjasama KPM dengan agensi berkaitan mengikut keperluan sekolah.
Dalam praktis kerja sosial, setiap pelajar perlu dilayan dengan hormat tanpa mengira latar belakang atau masalah yang dihadapi. Prinsip keadilan sosial pula menekankan peluang mendapatkan bantuan, termasuk bagi pelajar yang sukar memperoleh sokongan. Untuk memahami keperluan mereka, pekerja sosial perlu mendengar tanpa terus melabel atau menyalahkan mereka. Sikap ini membantu pelajar berasa selamat untuk berkongsi masalah. Pada masa yang sama, mereka tetap dibimbing untuk bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka dan berubah ke arah yang lebih baik.
Proses pertolongan bermula dengan membina hubungan yang baik supaya pelajar berasa selesa untuk berkongsi masalah. Pekerja sosial menjelaskan bahawa maklumat peribadi akan dirahsiakan. Namun, jika keselamatan pelajar atau orang lain terancam, maklumat yang diperlukan mungkin perlu dikongsi dengan pihak yang boleh membantu. Penjelasan ini membina kepercayaan dan membantu pelajar memahami batas kerahsiaan.
Sepanjang proses ini, pekerja sosial perlu bertindak secara jujur dan beretika serta memberikan bantuan mengikut kepakaran mereka. Setelah hubungan terjalin, pekerja sosial menjalankan penilaian bersama pelajar untuk memahami kesukaran yang dihadapi. Berpandukan teori sistem dan pendekatan ekologikal, penilaian turut mengambil kira hubungan keluarga, pengalaman di sekolah dan keadaan persekitaran.
Minat dan kebolehan pelajar serta sokongan daripada orang yang dipercayai juga dikenal pasti. Maklumat ini menjadi asas untuk merancang bantuan yang sesuai dengan keperluan dan kekuatan pelajar.
Berdasarkan penilaian tersebut, pelan bantuan dirancang bersama pelajar dengan matlamat yang dipersetujui. Prinsip penentuan kendiri memberi ruang kepada pelajar menyuarakan pandangan tentang bantuan yang diperlukan mengikut umur dan keupayaannya. Keselamatan dan kepentingan terbaik pelajar tetap diutamakan.
Sebagai contoh, pelajar yang kerap tidak hadir ke sekolah mungkin perlu menjaga ahli keluarga yang sakit. Dalam keadaan ini, teguran tentang kehadiran sahaja tidak mencukupi. Pekerja sosial boleh berbincang dengan pelajar dan keluarganya untuk mendapatkan sokongan penjagaan yang sesuai. Pada masa yang sama, pihak sekolah boleh menyediakan bantuan pembelajaran supaya pelajar tidak terus ketinggalan.
Jika pelajar memerlukan penilaian lanjut atau rawatan kesihatan mental, pekerja sosial akan membuat rujukan kepada profesional yang berkelayakan. Tindakan susulan dilakukan untuk memastikan pelajar mendapat bantuan dan sebarang kesukaran mendapatkan perkhidmatan dapat diatasi.
Kemajuan pelajar dinilai bersama dan pelan bantuan disesuaikan jika perlu. Apabila matlamat tercapai, proses pertolongan ditamatkan secara terancang. Pelajar juga diberitahu cara mendapatkan bantuan semula sekiranya diperlukan.
*Profesor Madya Dr. Paramjit Singh Jamir Singh ialah pensyarah Program Kerja Sosial Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia