KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muzaffar Gulam Mustakim membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu melibatkan MY E.G. Services Bhd (MYEG) dan Zetrix AI Berhad.
Gulam Muzaffar berkata, laporan itu turut menyentuh persoalan berkaitan RM314 juta yang didakwa perlu dibayar kepada kerajaan serta dikaitkan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
"Laporan ini dibuat selepas mengambil kira beberapa perkara yang didakwa menimbulkan persoalan berdasarkan kenyataan yang dibuat Menteri Pengangkutan sebelum ini," katanya pada sidang akhbar selepas memberi keterangan kepada pegawai SPRM Kuala Lumpur pada Rabu.
Menurutnya, beliau telah menyerahkan maklumat berkaitan bagi membantu siasatan pihak SPRM.
"Saya tampil sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab untuk memberikan kenyataan serta aduan kepada SPRM mengenai isu yang melibatkan MYEG dan Zetrix AI.
"Saya bersedia menjadi saksi utama sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan," katanya.
Gulam Muzaffar berkata, aduan tersebut turut menyentuh beberapa peruntukan di bawah Akta SPRM 2009, termasuk Seksyen 16, Seksyen 17, Seksyen 18 dan Seksyen 23 yang menurutnya wajar diteliti oleh pihak berkuasa.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung perkhidmatan MYEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut hasil JPJ berkuat kuasa Isnin.
Anthony Loke dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat susulan kegagalan syarikat berkenaan memenuhi kewajipan memindahkan kutipan hasil kerajaan dalam tempoh yang ditetapkan.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan tuntutan terhadap syarikat terbabit bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September lalu adalah RM314 juta, melibatkan kutipan hasil kerajaan yang masih belum dipindahkan ke Akaun Terimaan Utama Pejabat Perakaunan MOT.
MYEG dilantik sebagai ejen pemungut JPJ sejak tahun 2000 bagi perkhidmatan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), pertukaran hak milik kenderaan, Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan pembayaran saman secara elektronik.
Mengulas lanjut, Gulam Muzaffar berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.
"Saya percaya kepada profesionalisme SPRM untuk menjalankan siasatan," ujarnya.