Dewan Muslimat Pas Malaysia memandang serius dan amat bimbang terhadap pendedahan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pengurusan perkhidmatan bayaran wang jaminan mahkamah melalui sistem e-Jamin.
Kita tidak mempertikaikan manfaat digitalisasi sistem e-Jamin yang memudahkan urusan rakyat dan mempercepatkan proses pembayaran wang jaminan.
Namun, kecekapan sesuatu sistem tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan prinsip tadbir urus, undang-undang dan amanah terhadap wang rakyat.
Persoalan paling asas ialah: bagaimana sebuah syarikat swasta boleh mengendalikan kutipan wang jaminan mahkamah selama lima tahun tanpa sebarang perjanjian kontrak rasmi dengan Kerajaan Persekutuan?
Menurut dapatan PAC, sistem e-Jamin telah beroperasi di 192 mahkamah di seluruh negara sejak 10 Januari 2020 tanpa Surat Pelantikan, Surat Setuju Terima (SST), Letter of Intent (LOI) mahupun perjanjian kontrak rasmi. Sistem ini pula pada asalnya bermula sebagai Proof of Concept (POC) pada 2017, hasil kajian oleh Dapat Vista sendiri, sebelum diperluaskan secara nasional.
Lebih membimbangkan, daripada baki deposit wang jaminan sebanyak RM193.71 juta pada 31 Disember 2024, sebanyak RM130.8 juta telah dilaburkan oleh Dapat Vista atas nama syarikat itu sendiri termasuk dalam instrumen pelaburan pasaran wang. Pelaburan tersebut dilaporkan menjana pulangan sekitar RM4 juta hingga RM5 juta setahun.
Ini menimbulkan persoalan yang sangat serius.
Wang siapakah yang dilaburkan? Wang siapakah yang menjana faedah? Dan atas kapasiti apakah sebuah syarikat swasta boleh menggunakan wang jaminan yang pada akhirnya telah disahkan sebagai wang awam?
Lebih penting, Hansard Dewan Rakyat merekodkan bahawa ulasan rasmi Jabatan Peguam Negara bertarikh 12 Mac 2024, yang disokong oleh Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Akauntan Negara, mengesahkan wang jaminan yang dikutip melalui e-Jamin merupakan wang awam.
PAC turut menyatakan bahawa penyimpanan wang tersebut dalam akaun komersial syarikat swasta dan kegagalan memperakaunkannya dalam Akaun Amanah Disatukan mempunyai implikasi terhadap Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957.
Siapa yang beri kebenaran?
Inilah persoalan yang tidak boleh dibiarkan tergantung.
Siapakah yang sebenarnya memberikan kebenaran kepada Dapat Vista Sdn. Bhd. untuk mengendalikan sistem e-Jamin dan menerima wang jaminan daripada orang awam?
Siapakah yang meluluskan model operasi tersebut?
Apakah peranan dan keputusan Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Jabatan Akauntan Negara dan Jabatan Peguam Negara dalam memastikan sistem ini mematuhi tatacara kewangan kerajaan?
PAC telah memanggil wakil daripada agensi-agensi tersebut serta Dapat Vista dalam prosidingnya. Namun, rakyat berhak mengetahui dengan lebih jelas siapa membuat keputusan, pada tarikh bila, berdasarkan kuasa apakah dan dengan syarat apa.
Lebih mengejutkan, penjelasan dalam Dewan Rakyat menyatakan bahawa pandangan awal Bahagian Penasihat AGC pada 20 Disember 2019 menganggap transaksi e-Jamin sebagai transaksi komersial, dengan mahkamah sekadar pengguna sistem.
Tafsiran inilah antara faktor yang menyebabkan tiada perjanjian rasmi dimeterai antara kerajaan dengan syarikat pengendali.
Namun persoalannya: apabila wang yang dikendalikan akhirnya dikenal pasti sebagai wang awam, mengapa mekanisme kawalan dan perjanjian rasmi tidak segera diwujudkan?
Siapa sebenarnya di belakang Dapat Vista?
Rakyat juga berhak mendapat penjelasan mengenai struktur pemilikan dan kepentingan korporat di sebalik Dapat Vista.
Laporan awam menunjukkan Dapat Vista dimiliki sebanyak 80 peratus oleh Television Airtime Services Sdn. Bhd., yang merupakan subsidiari 51 peratus milik Pertama Digital, manakala baki 20 peratus dimiliki oleh HeiTech Padu Bhd.
Maklumat ini bukan untuk menuduh mana-mana syarikat melakukan kesalahan. Tetapi apabila sebuah syarikat swasta diberikan ruang untuk mengendalikan ratusan juta ringgit wang jaminan rakyat, struktur pemilikan, pihak berkepentingan, proses pemilihan vendor dan asas kelulusan mesti diketahui secara telus oleh rakyat.
Jika tiada apa-apa yang perlu disembunyikan, mengapa persoalan asas mengenai siapa yang memberi kuasa dan berdasarkan proses apakah keputusan itu dibuat masih belum dijawab secara tuntas?
RM130.8 juta bukan angka kecil
Kita sedang bercakap tentang wang yang dibayar oleh rakyat sebagai wang jaminan kepada mahkamah.
PAC melaporkan bahawa jumlah transaksi terkumpul melalui sistem ini mencecah sekitar RM620 juta dengan baki deposit aktif RM193.71 juta pada akhir 2024. Daripada jumlah tersebut, RM130.8 juta telah dilaburkan atas nama syarikat dan menghasilkan pulangan jutaan ringgit setahun.
Lebih membimbangkan, PAC turut membangkitkan ketiadaan struktur pemegang amanah, bon pelaksanaan atau perlindungan insurans yang kukuh. Keadaan ini menyebabkan wang jaminan terdedah kepada risiko sekiranya syarikat menghadapi masalah kewangan atau penggulungan. Terdapat juga perbezaan baki sebanyak RM557,258 antara rekod sistem e-Jamin dengan penyata bank syarikat yang dilaporkan belum disahkan.
Ini bukan lagi isu teknikal IT.
Ini isu amanah. Ini isu wang rakyat. Ini isu kedaulatan undang-undang dan integriti pentadbiran kerajaan.
Apa tindakan kerajaan sekepas laporan PAC?
Dewan Muslimat Pas Malaysia menuntut kerajaan memberikan jawapan yang jelas kepada rakyat:
1. Adakah kerajaan akan menjalankan audit forensik menyeluruh terhadap keseluruhan aliran wang jaminan yang dikendalikan melalui e-Jamin sejak 2020?
2. Berapa jumlah sebenar faedah atau pulangan pelaburan yang telah diperoleh daripada wang jaminan tersebut dan kepada siapa manfaat itu diberikan?
3. Adakah keseluruhan pulangan tersebut akan dipulangkan kepada kerajaan atau pemilik sah wang berkenaan?
4. Siapakah pegawai atau pihak yang bertanggungjawab meluluskan pengoperasian e-Jamin tanpa kontrak rasmi? Kerajaan mesti menjelaskan rantaian kuasa dan tanggungjawab, bukan sekadar menyatakan berlaku “kekeliruan tafsiran”.
5. Adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau agensi penguatkuasaan berkaitan akan meneliti dapatan PAC sekiranya terdapat asas untuk siasatan lanjut? PAC sendiri menegaskan bahawa mandatnya ialah mencari fakta dan bukan menentukan sama ada berlaku kesalahan jenayah.
6. Bilakah perjanjian rasmi antara kerajaan dan pengendali akan dimuktamadkan termasuk struktur pemegang amanah yang benar-benar melindungi wang rakyat?
7. Apakah mekanisme kerajaan untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang dalam projek digitalisasi kerajaan yang lain?
Untuk rekod, dalam perbahasan Dewan Rakyat, MOF dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan Dapat Vista untuk model pembelian, langganan atau hibrid bernilai RM40 juta hingga RM80 juta.
Sebaliknya, MOF menetapkan supaya sistem sedia ada diteruskan dengan perjanjian kontrak rasmi dan struktur akaun pemegang amanah.
Namun, rakyat tidak mahu sekadar janji untuk menandatangani kontrak baharu. Rakyat mahu penjelasan tentang apa yang berlaku sepanjang lima tahun yang lalu.
Amanah rakyat bukan ruang untuk eksperimen
Sebagai Lajnah yang membawa suara pembangunan modal insan dan tenaga profesional, kami melihat isu ini sebagai ujian besar terhadap budaya profesionalisme dan integriti dalam pengurusan negara.
Malaysia tidak kekurangan undang-undang, akauntan, peguam, pegawai kewangan, pakar teknologi dan penjawat awam yang berkelayakan.
Yang kita perlukan ialah keberanian untuk memastikan setiap keputusan kerajaan mempunyai punca kuasa yang jelas, proses yang telus dan pihak yang bertanggungjawab.
Kita tidak mahu budaya pentadbiran yang hanya bertindak selepas audit menemui masalah.
Kita tidak mahu budaya"sudah terlalu bergantung kepada sistem, maka tiada pilihan selain meneruskan” sehingga ketidakpatuhan akhirnya menjadi perkara biasa.
Dan kita tidak mahu wang rakyat diuruskan berdasarkan kepercayaan semata-mata tanpa kontrak, tanpa trustee dan tanpa perlindungan yang sewajarnya.
Teknologi boleh dipercepatkan. Tetapi amanah tidak boleh dipintas
Dewan Muslimat Pas Malaysia menyeru Kerajaan Persekutuan supaya mengambil tindakan segera, membuka keseluruhan proses kelulusan dan pemilihan pengendali kepada penelitian awam yang sewajarnya, memastikan wang jaminan dilindungi sepenuhnya serta mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai atau melanggar tatacara kewangan.
Rakyat berhak tahu: siapa yang memberi kuasa, siapa yang meluluskan, siapa yang mendapat manfaat dan siapa yang akan dipertanggungjawabkan.
Jangan biarkan laporan PAC sekadar menjadi satu lagi laporan yang dibahaskan di Parlimen tetapi tidak menghasilkan pertanggungjawaban.
Wang jaminan ialah amanah. Amanah wajib dijaga.
**Dr. Siti Aminah Muhammad Imran ialah Pengerusi Lajnah Pembangunan Modal Insan dan Tenaga Profesional dan Dewan Muslimat Pas Malaysia