Malang nasib Russell bermula dari belakang di Singapura

Iklan
Russell sudah menggunakan empat unit enjin yang diperuntukkan bagi musim ini. - FOTO: AFP.

HARAPAN George Russell untuk mengejar kejuaraan dunia Formula Satu (F1) menerima tamparan baharu apabila pemandu Mercedes itu dijangka terpaksa memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Singapura dari petak belakang pada Ahad ini.

Mercedes mengesahkan Russell sudah menggunakan empat unit enjin yang diperuntukkan bagi musim ini, sekali gus memaksanya menggunakan unit baharu pada perlumbaan di Litar Marina Bay.

Iklan
Iklan

Penggunaan enjin tambahan itu akan menyaksikan Russell dikenakan penalti bermula dari barisan belakang, manakala perlumbaan pecut 100 kilometer (km) pada Sabtu tidak terjejas dengan hukuman berkenaan.

Situasi itu hadir selepas Russell gagal menamatkan GP Bahrain di Malaysia minggu lalu apabila terpaksa berhenti lima pusingan sebelum perlumbaan berakhir akibat masalah unit kuasa ketika berada di tempat ketiga.

Iklan

Timbalan prinsipal Mercedes, Bradley Lord berkata, punca sebenar kegagalan enjin Russell di Sepang masih disiasat, namun pihaknya jelas mengenal pasti masalah itu berpunca daripada kerosakan mekanikal.

Russell kini berada di tangga kedua kejuaraan dengan 84 mata di belakang rakan sepasukan merangkap pendahulu, Kimi Antonelli, yang semakin hampir mencipta sejarah sebagai juara dunia termuda F1 pada usia 20 tahun.

Iklan

Mercedes sebelum ini merancang untuk Russell menggunakan enjin baharu di GP Amerika Syarikat (AS) di Austin, perlumbaan selepas Singapura kerana litar berkenaan menawarkan lebih banyak peluang memotong berbanding Marina Bay.

Namun, kegagalan enjin di Sepang memaksa perancangan itu diubah, selain pasukan berkenaan turut mempertimbangkan untuk mempercepatkan pengenalan naik taraf enjin.

Antonelli sendiri pernah bermula di petak ke-19 selepas menerima penalti enjin di Monza, namun pelumba Itali itu tetap berjaya memenangi perlumbaan berkenaan.

Russell pula mempunyai rekod cemerlang di Singapura selepas muncul juara tahun lalu dari petak utama, tetapi cabaran kali ini jauh lebih sukar memandangkan litar sempit itu terkenal dengan kesukaran untuk memotong.

Daripada 16 perlumbaan yang berlangsung di Marina Bay, 11 daripadanya dimenangi pemandu yang bermula dari petak utama, manakala Fernando Alonso memegang rekod kemenangan dari kedudukan paling belakang iaitu ke-15 pada 2008.