KUALA LUMPUR - Inflasi Malaysia antara yang terendah di rantau ini, namun peningkatan tekanan kos di peringkat huluan boleh membawa risiko kenaikan harga pada lewat tahun ini, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia, Apurva Sanghi.
Beliau berkata, inflasi harga pengeluar berubah daripada paras negatif pada Disember 2023 dan Februari 2024 kepada lebih 10 peratus pada Jun dan hampir 11 peratus pada Ogos tahun ini.
Ini menunjukkan tekanan kos di peringkat huluan kembali meningkat dan boleh membawa risiko kepada inflasi pada lewat tahun ini, katanya kepada media pada taklimat Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia Oktober 2026 di sini hari ini.
Bagaimanapun, Bank Dunia mengunjurkan inflasi keseluruhan meningkat secara sederhana kepada dua peratus tahun ini, dengan subsidi membantu mengehadkan kesan kenaikan harga tenaga terhadap isi rumah.
Apurva berkata Malaysia merekodkan kadar inflasi yang agak rendah, iaitu 1.9 peratus pada Ogos 2026, berbanding negara serantau lain seperti Thailand (2.5 peratus), Indonesia (3.2 peratus), Vietnam (4.9 peratus) dan Filipina (6.1 peratus).
Bagaimanapun, isi rumah berpendapatan rendah, yang ditakrifkan sebagai mereka yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan, menghadapi tekanan kenaikan harga yang lebih sederhana.
Kadar inflasi bagi isi rumah berkenaan hanya purata 1.2 peratus pada separuh pertama tahun ini dan kekal di bawah kadar inflasi keseluruhan setiap bulan sepanjang tempoh itu, katanya.
Menurut Apurva, pertumbuhan pendapatan dan penerimaan bantuan juga meningkat lebih cepat berbanding kos sara hidup bagi isi rumah berpendapatan rendah berbanding isi rumah berpendapatan lebih tinggi.
Prestasi pertumbuhan ekonomi Malaysia juga mengatasi jangkaan, dengan permintaan luar menjadi pemacu utama, disokong permintaan domestik, katanya.
Sementara itu, pertumbuhan penggunaan swasta meningkat kepada 4.8 peratus pada suku kedua daripada 4.7 peratus pada suku pertama, manakala pertumbuhan pelaburan swasta berkurangan kepada 4.3 peratus daripada 7.8 peratus.
Beliau berkata, bahagian pelaburan swasta dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) juga kekal di bawah paras sebelum pandemik, iaitu 15.8 peratus tahun lepas berbanding 16.9 peratus bagi tempoh 2015-2019.
Jika dilihat secara menyeluruh, Apurva berkata, sentimen pengguna, keyakinan perniagaan dan pelaburan swasta masih belum menunjukkan arah aliran peningkatan yang jelas.
Berdasarkan kajian industri, sentimen pengguna berada pada paras terendah sejak 2022, manakala keyakinan perniagaan pula berada pada paras serendah ketika tempoh pandemik, kata beliau.- Bernama