BUKIT MERTAJAM - Sambutan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2026 bertemakan Under the Sea membawa mesej bahawa usaha menabung sejak kecil ibarat pengembaraan penuh cabaran sebagai persediaan pendidikan demi kejayaan masa depan.
Sambutan yang mengekalkan slogan ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda!’ itu mengetengahkan peranan ibu bapa sebagai penyokong utama dalam membantu anakanak mengharungi pelbagai cabaran serta meneroka pengalaman baharu dalam kehidupan.
BMS dianjurkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai platform menggalakkan budaya menabung dalam kalangan masyarakat sempena Sambutan Hari Tabungan Sedunia yang diraikan pada 31 Oktober setiap tahun.
Program BMS 2026 berlangsung dari 25 September hingga 1 November 2026.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, BMS 2026 bukan sekadar sambutan tahunan tetapi wadah untuk menyemarakkan kesedaran masyarakat bahawa tabungan pendidikan merupakan persediaan awal dan pelaburan jangka panjang demi masa depan anakanak.
Menurutnya, melalui Simpan SSPN, PTPTN terus menyediakan ruang kepada ibu bapa untuk merancang pendidikan anakanak secara lebih awal, teratur dan berhemah.
"Konsep BMS tahun ini membawa mesej eksplorasi dunia bawah laut sebagai simbol perjalanan membina amalan menabung, merancang kewangan dan merealisasikan impian pendidikan anak-anak.
"Seperti sebuah pengembaraan yang memerlukan persediaan, begitu jugalah perjalanan pendidikan yang perlu dirancang sejak awal," katanya ketika merasmikan Sambutan BMS 2026 Peringkat Negeri di Pulau Pinang pada Sabtu.
Turut hadir pada program itu ialah Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Menurutnya, bagi memeriahkan sambutan, pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya Pertandingan mewarna, Pertandingan Simpan SSPN Got Talent, Pertandingan pakaian beragam, Happy Hour, Kaunter Promosi Simpan SSPN, kaunter saringan kesihatan dan reruai pameran agensi kerajaan serta swasta.
Dalam pada itu, Norliza berkata, PTPTN ditubuhkan pada 1 Julai 1997 dan mula beroperasi pada 1 November 1997 sebagai manifestasi komitmen kerajaan untuk memastikan pendidikan tinggi dapat diakses oleh seluruh lapisan masyarakat.
Katanya, sejak tahun 2004, PTPTN terus komited dalam memperkasakan amalan penabungan pendidikan melalui Simpan SSPN.
"Sehingga 31 Ogos 2026, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima telah mencecah RM25.86 bilion, melibatkan 7.66 juta akaun.
Pencapaian ini jelas mencerminkan keyakinan dan sokongan berterusan masyarakat terhadap Simpan SSPN sebagai instrumen simpanan pendidikan bagi menjamin masa depan anak-anak," katanya.
Pelbagai manfaat ditawarkan
Beliau berkata, melalui Simpan SSPN, pelbagai keistimewaan dan manfaat ditawarkan antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 secara percuma bagi satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan yang dijamin kerajaan.
Jelas beliau, pada tahun ini, PTPTN menganjurkan Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026 sebagai penghargaan kepada para pendeposit, dengan hadiah hampir RM1.9 juta untuk 1,060 pemenang.
Sementara itu, pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2026, Kategori Cabutan WOW! Plus Siri 2, Mohd Hasari Hasan, 46, tidak menyangka amalan menabung sejak Februari 2021 untuk anakanak melayakkan memenangi RM15,000.
"Saya berterima kasih kepada PTPTN kerana kini merasai manfaat daripada simpanan yang dimulakan sejak lima tahun lalu. Empat anak saya berumur tujuh sehingga 18 tahun kesemuanya ada akaun Simpan SSPN.
“Anak saya yang berumur 18 tahun menggunakan wang Simpan SSPN untuk menyambung pengajiannya dalam Kursus Perbankan di Universiti Teknologi MARA, Raub Pahang tanpa mengharapkan pinjaman,” katanya yang mengajak orang ramai untuk menabung sejak anak-anak masih kecil.
BMS 2026 telah dilancarkan di peringkat nasional pada 26 September lalu sebagai inisiatif strategik menyemarakkan budaya menabung dan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya perancangan kewangan pendidikan anak-anak sejak awal usia.
Dalam majlis sama, Norliza turut menyampaikan Anugerah Permata Inspirasi PTPTN kepada Nur Aamily Sa yya Mohd Zabari Izyan, 11, yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat, Nibong Tebal itu meraih Pingat Emas Public Speaking dan Tempat Ketiga Best Performance (Kategori English) dalam Grand Global Finals di University of Surrey, United Kingdom sempena The International World Innovative Student Exhibition (iWISE).
Kedua ibu dan bapa Aamily Sa yya merupakan pendeposit Simpan SSPN Plus bawah Pakej Intan, yang masing-masing membuka akaun pada tahun 2018 dan 2022.
Reaksi
"BMS memberikan pendedahan dan persediaan masa depan anak-anak sekiranya menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi. Saya baru mendaftarkan akaun Simpan SSPN untuk anak pada hari ini." -Muhammad Azmierul Mazelan, 34
"BMS memberi pendedahan mengenai kelebihan Simpan SSPN. Jika ada anak kita yang akan sambung belajar, kita telah ada simpanan." -Nor Hanim Karim, 51