Tiada pilihan raya kecil bagi Parlimen Petaling Jaya - SPR

Iklan
SPR mengesahkan tiada PRK bagi Parlimen Petaling Jaya selepas penyandangnya, Lee Chean Chung meletakkan jawatan pada Jumaat lalu.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tiada pilihan raya kecil (PRK) dijalankan bagi kerusi Parlimen Petaling Jaya susulan peletakan jawatan penyandangnya, Lee Chean Chung, Jumaat lalu.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya menerima pemakluman daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul melalui surat bertarikh 2 Oktober 2026 berhubung status kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Petaling Jaya.

Iklan
Iklan

“Berdasarkan kepada Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut.

“Selaras dengan itu, tiada Pilihan Raya Kecil Bahagian Pilihan Raya Parlimen P 105 Petaling Jaya akan dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Keputusan itu menjadikan Petaling Jaya sebagai kerusi Parlimen keempat dalam penggal semasa yang dikosongkan tanpa disusuli PRK, selepas Pandan, Setiawangsa dan Subang.

Sebelum ini, SPR pada 20 Mei mengesahkan tiada PRK bagi Parlimen Pandan dan  Setiawangsa selepas kedua-dua penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengosongkan kerusi masing-masing.

Iklan

Pada Ogos lalu pula, SPR mengesahkan tiada PRK bagi Parlimen Subang susulan peletakan jawatan penyandangnya, Wong Chen.

Sementara itu, Chean Chung, 45, melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya tanpa syarat susulan penggantungan keahliannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama tiga tahun yang diterimanya pada 30 September 2026.

Beliau sebelum ini mendakwa akses terhadap peruntukan kawasan Petaling Jaya telah disekat, selain pengurusannya diambil alih menerusi proses yang didakwa tidak telus.