KLSSF 2026 angkat seni, STEM sebagai tarikan pelawat

Iklan
Samuel Lee (tengah) diiringi Ezarisma Azni (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) Siti Azlina Abdul Latif melancarkan simbolik perasmian KLSSF 2026 di KLCC Esplanade di sini pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Kuala Lumpur Seni dan STEM Festival (KLSSF) 2026 menjadi platform memperkayakan pengalaman pelawat menerusi gabungan seni, warisan, sains, teknologi dan inovasi dalam satu festival terbuka kepada orang ramai.

Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Samuel Lee Thai Hung berkata, penganjuran KLSSF turut meningkatkan tarikan Kuala Lumpur sebagai destinasi budaya, pembelajaran, inovasi dan pengalaman keluarga.

Iklan
Iklan

Menurutnya, festival itu selari dengan aspirasi Visit Malaysia 2026-2027 yang bukan hanya memberi tumpuan kepada usaha menarik lebih ramai pelawat, tetapi menggalakkan mereka tinggal lebih lama, meneroka banyak destinasi dan berinteraksi dengan komuniti tempatan.

"Festival ini memberi peluang kepada pengunjung berinteraksi dengan warisan Malaysia, mengenali ekosistem inovasi dan mengalami budaya tempatan menerusi pendekatan interaktif, pendidikan dan pengalaman yang tersendiri," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran KLSSF 2026 di KLCC Esplanade di sini pada Jumaat.

KLSSF 2026 berlangsung dari Jumaat hingga Ahad ini di KLCC Esplanade dengan menghimpunkan pelbagai aktiviti berkaitan seni, warisan, STEM, AI dan inovasi.

Iklan

Samuel berkata, kepelbagaian elemen yang diketengahkan menerusi KLSSF turut membantu memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai destinasi menggabungkan tarikan ikonik, ekspresi budaya, pendidikan dan inovasi.

Jelas beliau, KLSSF kini memasuki edisi kedua selepas penganjuran sulung pada tahun lalu yang menarik hampir 50,000 pengunjung dalam tempoh tiga hari.

"KLSSF semakin muncul sebagai antara festival awam ikonik Kuala Lumpur yang menghimpunkan seni, warisan dan STEM dengan cara yang mencerminkan akar budaya serta aspirasi negara untuk masa depan," jelas beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn Bhd, Ezarisma Azni Mohamad berkata, KLSSF kali ini tampil dengan fokus lebih kukuh terhadap kecerdasan buatan (AI), inovasi dan teknologi masa depan.

Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan golongan muda bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya yakin meneroka serta menggunakan teknologi sebagai alat kreativiti, pembelajaran dan penyelesaian masalah.

"Kami mahu mereka menjadi penyumbang yang yakin, bertanggungjawab dan kreatif kepada masa depan.

"Melalui pengalaman yang mudah diakses dan menarik, KLSSF memberi peluang kepada golongan muda meneroka AI, mengemukakan soalan dan memahami bagaimana teknologi baharu boleh menjadi alat untuk kreativiti, pembelajaran dan penyelesaian masalah," tambah beliau.