PRN Melaka: BN yakin Pas lebih selesa guna logo sendiri - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) yakin Pas lebih selesa menggunakan logo parti itu sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti, sebagaimana yang digunakan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggunaan logo BN masih belum dibincangkan secara rasmi antara kedua-dua parti.

Iklan
Iklan

"Penggunaan logo itu belum diperbincangkan secara rasmi tetapi saya yakin jika Pas bertanding, mereka lebih selesa menggunakan logo mereka sendiri sebagaimana yang digunakan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.

"Kami tidak ada masalah kalau mereka mahu menggunakan logo yang mereka akan kemukakan kerana itu adalah soal parti mereka. Tetapi tentunya BN dan rakan-rakan gabungan dalam parti BN akan tetap menggunakan logo kami," katanya. 

Iklan

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu bersedia menggunakan lambang BN pada PRN Melaka, namun rundingan termasuk berkaitan penggunaan lambang dan kerjasama dengan BN masih diteruskan.

Beliau berkata, Pas juga sedia mempertimbangkan sama ada menggunakan lambang sendiri atau BN, bergantung kepada hasil rundingan.

Iklan

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, tahap perbincangan BN dengan pihak yang berpotensi bekerjasama pada PRN Melaka kini berada pada 9.5 daripada 10.

Beliau berkata, kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan dan BN masih menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 7 Oktober nanti sebelum menentukan gabungan yang akan bekerjasama pada PRN Melaka.

"Selepas itu akan ada pengumuman untuk memuktamadkan dengan gabungan mana yang harus kita bekerjasama atau mengadakan jalinan kesefahaman untuk kita bergerak dalam PRN nanti.

"Kita masih terbuka dengan perbincangan, kami sangat terbuka," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, BN dan rakan-rakan dalam gabungan itu akan kekal menggunakan logo BN pada PRN Melaka.

Katanya, di peringkat akar umbi dan jentera, khususnya di pusat daerah mengundi, BN akan bergerak bersama walaupun pihak yang akan bekerjasama masih belum diputuskan.

"Tetapi kita telah merancang untuk menggerakkan jentera ini agar gelombang biru di Negeri Melaka ini benar-benar dapat diterjemahkan untuk menjadi satu gelombang yang akhirnya akan mara ke seluruh negara apabila tiba waktunya," katanya.