Lelaki warga asing cuba pecah masuk rumah ditahan

Iklan
Suspek diserhakan kepada anggota polis peronda untuk tindakan lanjut.

KLANG - Seorang lelaki warga Indonesia diberkas selepas dipercayai cuba memasuki sebuah rumah di Kampung Rantau Panjang di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam apabila seorang wanita berusia lewat 50-an yang berada di dalam rumah menyedari kehadiran suspek di bahagian pintu rumah.

Iklan
Iklan

"Siasatan mendapati ketika kejadian pintu rumah mangsa ketika itu tidak berkunci dan suspek dipercayai cuba memasuki rumah berkenaan.

"Mangsa kemudian menjerit meminta pertolongan menyebabkan suspek melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Sebelum ini tular hantaran di media sosial dimuat naik seorang individu mendakwa berlaku kejadian cubaan memecah masuk sebuah rumah di sini.

Hantaran terbabit turut memuat naik gambar dipercayai suspek yang berjaya diberkas ketika kejadian.

Iklan

Dalam pada itu, Ramsay berkata, suspek bagaimanapun berjaya ditahan oleh jiran berhampiran sebelum diserahkan kepada anggota polis peronda untuk tindakan lanjut.

"Suspek ialah lelaki warga Indonesia berusia lingkungan lewat 20-an.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Asisten Superintenden Abdul Hai Salleh di talian 012-345 3946.