Tuan Ibrahim perjelas ketidakhadiran pimpinan Pas semasa pengebumian Tun Dr Hasmah

Iklan
Tuan Ibrahim

GOMBAK - Sebahagian besar pimpinan Pas tidak dapat menghadiri pengebumian Tun Dr Hasmah Mohd Ali pada 28 September lalu atas alasan mempunyai program tertentu di dalam dan luar negara, jelas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang itu bagaimanapun berkata, pihaknya secara langsung merakamkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, ia bukan bermakna Pas sengaja tidak hadir ke upacara pengebumian di Pusara Negara Presint 20, Putrajaya.

"Kebetulan pada hari beliau meninggal dunia, memang kita akui bahawa sebahagian besar pimpinan Pas mempunyai program tertentu.

Iklan

"Contohnya, saya sendiri terlibat dalam program di Kelantan begitu juga Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah.

"Oleh itu, ketidakhadirannya memang disebabkan ada program yang tak boleh dielakkan. Bagaimanapun Pas hadir dengan menghantar ketua dewan muslimat dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Shahidan Kassim selain menyertai tahlil di rumah Dr Mahathir," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Majlis Konvokesyen Kulliyyah 'Ulum Islamiyyah Zulkifli Muhammad (KUIZM) di sini pada Sabtu.

Tuan Ibrahim berpendapat, kematian sememangnya perkara yang mengejut dan pengebumian mesti disegerakan tanpa perlu menunggu sesiapa pun.

"Kadang-kadang kematian ayah tapi anak tak sempat sampai pun kerana kematian itu mengejut. Kita tak boleh tunggu lama-lama sebabnya apabila meninggal dunia, jenazah perlu dikebumikan segera.

"Siapa sempat, sempatlah. Tetapi bukan bermakna kita sengaja tak hadir. Bagi pihak parti sudah rakamkan takziah kepada Dr Mahathir.

"Mudah-mudahan beliau bersabar dengan apa yang berlaku, apa yang penting kita doakan roh Allahyarham Tun Dr Hasmah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan hamba ALLAH yang soleh, insya-ALLAH," ujarnya.

Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan Tun Dr Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) jam 9.20 pagi.

Berita duka pemergian tokoh berusia 100 tahun itu disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Tun Dr Hasmah dilahirkan pada 12 Julai 1926 dan berkahwin dengan Tun Dr Mahathir pada 5 Ogos 1956.