LTdL 2026: Nil Gimeno Ferrer raih kemenangan profesional pertama di Batu Pahat

Iklan
Nil Gimeno (tengah) meraikan kejayaan selepas memenangi peringkat ketujuh LTdL 2026 dari Melaka ke Batu Pahat, Johor hari ini. - Foto: Bernama

PELUMBA Sepanyol, Nil Gimeno Ferrer daripada Equipo Kern Pharma mempamerkan kayuhan bertenaga untuk melakar kemenangan pertama dalam kerjaya profesionalnya pada Peringkat Ketujuh Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dari Melaka ke Batu Pahat hari ini.

Pelumba berusia 22 tahun itu melintasi garisan penamat dengan catatan masa tiga jam 12 minit 33 saat bagi laluan sejauh 158.9 kilometer (km), mengetepikan Mario Aparicio Munoz (Burgos-Burpellet-BH) di tempat kedua dan Andrei Stepanov (Wheeltop Rotor Chengdu Team) di tempat ketiga manakala Adne Van Engelen (Terengganu Cycling Team) menduduki tempat keempat.

Iklan
Iklan

"Kami datang ke sini untuk menang satu peringkat. Kami yakin ia adalah peringkat keempat tetapi ia tidak berlaku dan saya tidak menjangkakan hari ini. Semua pelumba dalam kumpulan breakaway melakukan kayuhan yang bertenaga sepanjang hari. Semua pelumba memberikan komitmen dan kami melakukannya. Kami berjaya,” kata Gimeno Ferrer ketika ditemui selepas perlumbaan itu.

Pelumba Sepanyol itu berkata, walaupun peloton menjangkakan perlumbaan akan berakhir dengan pecutan beramai-ramai di laluan pesisir pantai yang mendatar, empat pelumba di hadapan bekerja keras tanpa henti untuk terus meninggalkan kumpulan yang mengejar.

Iklan

Nil Gimeno Ferrer berkata, kemungkinan untuk memenangi peringkat hanya disedarinya apabila kumpulan breakaway itu memasuki kilometer terakhir, dengan harapan,"Saya perlu menang hari ini”.

Gimeno Ferrer yang kelihatan sedikit beremosi mendedikasikan kemenangan bermakna itu kepada pihak pengurusan dan kru pasukan yang terus memberikan kepercayaan kepadanya di tengah-tengah ketidakpastian penajaan di luar musim.

Iklan

Beliau turut mendedikasikan kemenangan itu kepada seorang individu rapat dengannya yang sedang melalui masa sukar, sambil mengimbas cabaran peribadi yang ditempuhinya musim ini.

"Sejujurnya, ia boleh dikatakan sebagai tahun yang sukar dengan beberapa kelemahan kecil dan ini sangat menakjubkan. Selain itu, ada seorang yang sangat saya sayangi yang tidak melalui masa terbaik, jadi kami berjuang untuknya. Saya turut merasainya dan ini untuknya,” katanya.

Sementara itu, pelumba Jerman, Lennart Jasch (Tudor Pro Cycling Team) mengekalkan Jersi Jingga selaku pendahulu keseluruhan dengan catatan masa keseluruhan 24 jam 51 minit 45 saat, mendahului Abel Balderstone Roumens (Caja Rural-Seguros RGA) dengan kelebihan 26 saat dan Jan Castellon Ribalt (Caja Rural-Seguros RGA) dengan kelebihan 42 saat.

Pelumba pecut Itali Matteo Malucelli daripada XDS Astana Team terus menguasai Jersi Biru (Raja Pecut) dengan 50 mata manakala Lennart turut mengekalkan Jersi Polka Dot (Raja Bukit) dengan 45 mata, empat mata mengatasi Petr Rikunov (Wheeltop Rotor Chengdu Team).

Dalam kategori Pelumba Terbaik Asia, pelumba Jepun Yuhi Todome (Aisan Racing Team) mengekalkan Jersi Putih dengan catatan 24:59:06s manakala pelumba Malaysia Tsen Ren Han (Malaysia National Team) dan adiknya Tsen Ren Bao (St George Continental Cycling Team) masing-masing berada di tempat kedua serta ketiga, ketinggalan lima minit 25 saat.

Edisi ke-30 LTdL akan melabuhkan tirainya esok dengan Peringkat Kelapan dari Muar ke Putrajaya sejauh 188.3km, yang menampilkan tiga zon pecutan di Simpang Ampat, Seremban dan Nilai. - Bernama