Tambah kekuatan tentera di Sabah hadapi konflik Pulau Balabac - Khaled Nordin

Iklan
Mohamed Khaled

KOTA TINGGI - Kerajaan menyasarkan penempatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang seimbang terutama di Sabah sekiranya berlaku konflik di Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah menyeimbangkan penempatan tentera 50 peratus di Semenanjung dan 50 peratus di Sabah serta Sarawak dicadang susulan perkembangan ketenteraan negara berkuasa besar di Pulau Balabac, Filipina.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika ini kira-kira dua pertiga anggota ATM ditempatkan di Semenanjung, manakala satu pertiga lagi berada di Sabah dan Sarawak.

“Ini adalah sebahagian daripada persediaan pertahanan negara dengan mengambil kira kedudukan Sabah dan Sarawak yang berhampiran kawasan berpotensi berlaku konflik,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi di sini pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan negara perlu memperkukuh pertahanan negara terutamanya di Sabah susulan perkembangan serantau yang melibatkan ketenteraan di Laut China Selatan.

Kebimbangan disuarakan berikutan kemungkinan berlakunya konflik hingga mengancam keselamatan penduduk.

Iklan

Justeru, perhatian diberikan terhadap perkara berkenaan bagi membolehkan tindakan segera diambil untuk membantu pertahanan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkembangan ketenteraan di Pulau Balabac, Filipina bukan bermaksud Malaysia melihat kawasan itu sebagai ancaman secara langsung.

“Bukan kita khuatir soal peningkatan ketenteraan di Pulau Balabac tetapi kedudukannya yang hampir dengan kita. Jika berlaku apa-apa pertikaian atau pertempuran di situ walaupun kecil dari segi geopolitiknya, kesannya boleh melimpah ke Malaysia,” ujarnya.

Tambahnya, kesiapsiagaan pertahanan perlu dipertingkat bagi menghadapi sebarang kemungkinan konflik, pertembungan atau provokasi yang berlaku di kawasan berkenaan.