Penduduk Nepal bangkit daripada sisa kemusnahan

Iklan
Lumpur dan sisa runtuhan kini menjadi ancaman harian bagi penduduk di kawasan terjejas teruk termasuk daerah Trishuli. Foto: Agensi

BIDUR - Kira-kira sebulan selepas banjir dahsyat melanda Nepal, kesan kemusnahan masih membekas dalam kehidupan ribuan mangsa yang kehilangan insan tersayang, tempat tinggal dan punca pendapatan.

Lebih 7,000 orang terkorban atau masih hilang manakala seramai 80,000 penduduk dilaporkan terjejas bencana pada 26 Ogos itu. Anggaran awal kos keseluruhan kerosakan dan usaha pemulihan mencecah AS$2.7 bilion (RM11.03 bilion).

Iklan
Iklan

Sebahagian kawasan di Devighat masih ditimbuni lumpur tebal. Foto: Agensi

Meskipun ramai terpaksa hidup seperti pelarian dan berdepan masa depan yang tidak menentu, penduduk yang terjejas kini perlahan-lahan bangkit untuk membina semula kehidupan mereka.

Iklan

Di sekitar kawasan Devighat di Bidur, bau busuk semakin menusuk hidung apabila sisa lumpur mula mengering di bawah terik matahari.

Jalan-jalan yang dahulunya berwarna-warni kini berubah menjadi landskap kelabu yang suram. Banjir berlumpur yang mencecah bangunan setinggi tiga tingkat begitu deras sehingga menghanyutkan struktur konkrit yang kukuh sementara rumah yang masih kukuh berdiri mengalami kerosakan teruk.

Iklan

Seorang wanita membersihkan sisa lumpur dari tingkat dua kediamannya. Foto: Agensi

Penduduk bagaimanapun tetap berusaha membersihkan kediaman masing-masing. Mereka bertungkus-lumus menyodok lumpur dan mengalihkan timbunan sisa runtuhan yang memenuhi kawasan sekitar.

Di daerah Nuwakot, kira-kira 4,000 struktur termasuk kediaman direkodkan mengalami kerosakan akibat bencana tersebut. Bangunan-bangunan yang sebelum ini dipenuhi pangsapuri dan premis perniagaan kecil kini diselaputi lumpur tebal serta timbunan sisa banjir.

“Banjir menghanyutkan segala-galanya. Saya tidak tahu bagaimana hendak meneruskan hidup dan menyara keluarga,” kata seorang lelaki berusia dalam lingkungan 60-an yang sebelum ini mengusahakan sebuah kedai runcit.

Khemah sementara yang menjadi tempat berlindung penduduk hilang tempat tinggal didirikan di Bidur. Foto: Agensi

Nuwakot kini menjadi antara pangkalan utama bagi operasi bantuan. Bunyi helikopter kedengaran hampir setiap masa kerana ia berulang-alik dari kemudahan ketenteraan ke kawasan yang dilanda bencana untuk menghantar bekalan bantuan atau menjalankan operasi menyelamat.

Di lokasi sebuah jambatan yang telah dihanyutkan arus deras, pihak berkuasa tempatan telah memasang sistem pengangkutan menggunakan kabel sebagai penyelesaian sementara.

Kemudahan sepanjang kira-kira 300 meter itu kini digunakan untuk membantu penduduk menyeberangi kawasan yang terputus hubungan.

Peralatan memasak dikumpulkan di sebuah kemudahan kerajaan di Bidur sebelum diagihkan kepada penduduk. Foto: Agensi

Sementara itu, salah seorang penduduk terselamat, Tsetan Gyalpo tidak gentar berdepan rintangan yang menanti. Dia berharap dapat memainkan peranan dalam usaha membangunkan semula kampung halamannya, Syabru Besi di daerah Rasuwa yang binasa teruk.

Sebelum ini, kawasan tersebut merupakan hab pengangkutan yang menghubungkan Nepal dengan China selain dikelilingi industri pelancongan yang berpotensi untuk terus berkembang.

Beberapa pelajar kembali menjalani sesi pembelajaran di sebuah sekolah menengah di Bidur. Foto: Agensi

Gyalpo berkata, dia mahu bekerjasama dengan golongan muda selain membantu merangka bentuk sokongan yang diperlukan oleh masyarakat setempat.

“Bangkit, pulih dan bina semula,” ujarnya penuh semangat sambil menegaskan tekad untuk terus melangkah demi keluarga tercinta yang menjadi sumber kekuatan dalam menghadapi cabaran mendatang.