Status 54 rakyat Malaysia hilang: PM Nepal jamin kerjasama penuh - Anwar

Iklan
Anwar bercakap kepada pemberita selepas meninjau tapak bekas Pangkalan TUDM Sungai Besi yang akan dibaik pulih oleh KLCC Property Holdings Berhad (KLCCH). Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah memberi jaminan bahawa kerajaan negara itu akan memberikan segala kerjasama diperlukan bagi memudahkan proses pengesahan status 54 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan banjir besar di negara berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaminan tersebut disampaikan Balendra Shah kepada beliau dalam perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin itu baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Anwar berkata, beliau telah mengarahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar supaya segera mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa Nepal.

"Balendra Shah memberi jaminan kepada saya bahawa beliau akan memberikan segala kerjasama diperlukan untuk memudahkan (proses) supaya keluarga terbabit dapat mendapat maklumat secepat mungkin,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan terkini rakyat Malaysia yang hilang dalam bencana itu di Nepal.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Kuarters Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi di sini pada Jumaat.

Bencana banjir dan aliran puing pada 26 Ogos lepas, yang dicetuskan oleh runtuhan ais glasier dan batuan di kawasan tadahan hulu Lhende Khola di Tibet, setakat ini meragut 1,451 nyawa. 

Iklan

Kira-kira 5,700 individu termasuk lebih 600 warga asing masih dilaporkan hilang.- Bernama