Chean Chung tidak libatkan diri dalam urusan parti sejak setahun - Anwar

Iklan
Anwar (kiri) menjelaskan, Chean Chung telah lama tidak menghadiri mesyuarat atau kongres parti itu.

KUALA LUMPUR - Bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chean Chung telah lama tidak menghadiri mesyuarat atau kongres parti itu, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Chean Chung yang meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya berkuat kuasa serta-merta itu juga tidak melibatkan diri dalam urusan parti sejak kira-kira setahun lepas.

Iklan
Iklan

"Kira-kira setahun tidak pernah campur soal urusan parti, mesyuarat-mesyuarat parti tidak pernah hadir, jadi kongres pun tidak hadir. Jadi tidak apalah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Kuarters Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi di sini pada Jumaat.

Mengulas dakwaan Chean Chung berhubung isu peruntukan kawasan Petaling Jaya telah disekat, Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa memastikan projek pembangunan seperti sekolah, surau, masjid, tokong serta jalan raya berjalan lancar.

Iklan

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peletakan jawatan Chean Chung juga tidak akan menjejaskan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan berkenaan.

"Beliau mahu memberikan pandangan, kita boleh terima. Tapi tidak semestinya Ahli Parlimen itu berhenti (meletakkan jawatan), projek juga berhenti. Tak betul,” katanya.

Iklan

Ditanya sama ada PKR akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Chean Chung, Anwar berkata, perkara itu diserahkan kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh dan Jawatankuasa Perundangan parti yang turut melibatkan Sivarasa Rasiah.

Chean Chung mengumumkan peletakan jawatan tanpa syarat sebagai Ahli Dewan Rakyat berkuat kuasa hari ini. 

Beliau berkata, surat peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen kawasan itu telah diserahkan secara rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul semalam.

Pada 30 September lepas, Chean Chung menerima keputusan bahawa keahliannya dalam PKR digantung selama tiga tahun.- Bernama