TAN Cheng Hoe melihat kemenangan 6-0 ke atas Singapura sebagai bukti anak buahnya mampu mengekalkan disiplin dan fokus untuk menutup kempen Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 dengan persembahan meyakinkan.
Pengendali sementara Harimau Malaya itu berkata, barisan pemainnya tidak mengambil mudah perlawanan terakhir kumpulan biarpun Malaysia sudah melalui perjalanan panjang dalam saingan berkenaan.
Beliau turut berpuas hati apabila pemain menunjukkan kesungguhan sehingga wisel penamat bagi memastikan pasukan memperoleh kemenangan bergaya di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada Khamis.
"Suasana sangat baik. Sudah tentu semua pemain menunjukkan komitmen tinggi dan memberikan segala-galanya dalam perlawanan ini. Mereka beraksi dengan baik dan saya gembira melihat persembahan yang ditunjukkan," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Cheng Hoe berkata, pemain juga memperlihatkan karakter positif dengan terus berusaha mencari jaringan meskipun sudah mendahului lawan dengan selesa.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia mencatat jumlah jaringan besar, namun Cheng Hoe mengingatkan pemain supaya tidak terlalu lama meraikan pencapaian berkenaan.
"Keputusan ini adalah satu keputusan dengan jumlah jaringan yang sangat besar dan kita mencipta sejarah. Tetapi selepas ini kita tidak boleh terlalu lama melihat kepada keputusan ini kerana kita perlu fokus kepada pusingan seterusnya," katanya.
Malaysia menamatkan saingan Kumpulan A di tempat kedua selepas mengumpul mata sama dengan Indonesia, namun tewas dari segi perbezaan gol.
Indonesia meraih kedudukan teratas selepas membelasah Bangladesh 9-2 dalam satu lagi aksi kumpulan, sekali gus menyingkirkan Malaysia daripada perebutan tiket ke final.
Malaysia selepas ini akan bertemu Vietnam dalam penentuan tempat ketiga dan keempat, manakala Indonesia selaku juara kumpulan akan berdepan Thailand pada final.