Belasah Singapura, namun Harimau Malaya gagal ke final

Iklan
Malaysia terpaksa akur gagal ke pentas final Piala ASEAN FIFA biarpun membelasah Singapura 6-0 dalam aksi terakhir kumpulan di Bandung pada Khamis. Foto Malaysia NT

HARAPAN Harimau Malaya untuk ke final Piala ASEAN FIFA 2026 terus berkubur meskipun membelasah Singapura 6-0 dalam aksi terakhir Divisyen 1 Kumpulan A di Bandung sebentar tadi.

Lebih mendebarkan, setiap jaringan di Stadium Si Jalak Harupat seolah-olah menghidupkan semula peluang skuad kendalian Tan Cheng Hoe, namun pada masa sama Indonesia terus menambah jaringan ketika membelasah Bangladesh 9-2 dalam satu lagi aksi kumpulan.

Iklan
Iklan

Kemenangan besar menjadi buruan Harimau Malaya bagi mengejar kelebihan jaringan Indonesia, sekali gus memastikan perebutan tiket final berlangsung hingga wisel penamat.

Menerusi keputusan tersebut menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan tujuh mata, namun Indonesia memiliki kelebihan 11 jaringan berbanding Malaysia dengan sembilan gol.

Iklan

Cheng Hoe membuat dua perubahan dalam kesebelasan utama dengan menurunkan Fergus Tierney dan Daniel Ting bagi menggantikan Faisal Halim serta La'Vere Corbin-Ong, manakala Singapura kembali diperkuat Safuwan Baharudin selepas menjalani penggantungan satu perlawanan.

Seawal minit kelapan, Harimau Malaya mendapat sepakan penalti selepas semakan VAR mengesan kekasaran pemain Singapura terhadap Tierney, sebelum Bergson da Silva menyempurnakannya dengan tenang untuk membuka tirai jaringan.

Iklan

Malaysia terus menggandakan tekanan dan pada minit ke-26, Manuel Hidalgo memperdaya benteng Singapura sebelum menghantar bola kepada Stuart Wilkin yang mudah menyudahkan peluang untuk menjadikan kedudukan 2-0 sehingga rehat.

Bersambung babak kedua, Singapura cuba bangkit tetapi Malaysia terus mengawal permainan sebelum Bergson sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-62.

Cheng Hoe kemudian memberikan penampilan pertama kepada pemain tengah JDT, Nathaniel Shio Hong Wan yang menggantikan Wilkin pada minit ke-75.

Seminit kemudian, Paulo Josue menambah jaringan keempat menerusi rembatan deras sebelum Syahir Bashah menjadikan kedudukan 5-0 pada minit ke-87.

Dalam masa kecederaan, Bergson melengkapkan hatrik untuk gol keenam Malaysia, sekali gus mencetuskan sorakan besar di Stadium Si Jalak Harupat.

Harapan kembali menyala seketika, tetapi keputusan dari satu lagi venue akhirnya mematikan impian Harimau Malaya apabila Indonesia turut menamatkan aksi dengan kemenangan 9-2 ke atas Bangladesh.

Keputusan itu mengesahkan Indonesia muncul juara Kumpulan A dan menempah tiket ke final bertemu Thailand, sekali gus menutup terus harapan Malaysia untuk ke pentas akhir.

Harimau Malaya selepas ini akan menentang Vietnam dalam aksi penentuan tempat ketiga, manakala Indonesia dan Thailand berentap bagi merebut kejuaraan Piala ASEAN FIFA 2026.