KUALA LUMPUR - Kewujudan minyak masak peket buatan Malaysia di sebuah pasar di Narathiwat, Thailand menimbulkan persoalan sama ada produk berkenaan dieksport secara rasmi atau dibawa masuk melalui kegiatan penyeludupan.
Perkara itu dibangkitkan pengguna Threads, Hafeezboh menerusi perkongsian di aplikasi berkenaan selepas menemui produk minyak masak peket Malaysia ketika berjalan-jalan di sebuah pasar sekitar wilayah itu.
Menurutnya, selain minyak masak peket, turut terdapat produk gula jenama tempatan yang dijual di lokasi berkenaan.
"Yang ni memang kita eksport secara rasmi atau hasil penyeludupan?
"Gula pun ada," katanya menerusi perkongsian tersebut.
Hafeez turut memaklumkan dia hanya teringat untuk berkongsi rakaman video berkenaan selepas menerima komen daripada pengguna lain.
Perkongsian itu kemudian mendapat perhatian pengguna media sosial lain.
Seorang pengguna, Keiko_13r mendakwa, penemuan minyak masak peket keluaran negara itu bukan sahaja diseludup di selatan Thailand, malah turut mendakwa ia pernah ditemui di Filipina.
Bagi scha_lix, kegiatan penyeludupan didakwa sudah lama berlaku membabitkan tiga wilayah selatan negara itu.
Ezzat.haqim pula mencadangkan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuat lawatan ke wilayah Narathiwat.