Dakwaan KKDW terlebih belanja RM2.1 bilion: Guan Eng digesa kemukakan bukti

Iklan
Dakwaan berhubung KKDW ‘terlebih belanja’ dipercayai merujuk kepada angka yang pernah dikemukakan Kementerian Kewangan sebelum ini.

SHAH ALAM - Penasihat DAP, Lim Guan Eng digesa untuk mengemukakan bukti berhubung dakwaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berbelanja melebihi peruntukan hingga RM2.1 bilion.

Setiausaha Akhbar Menteri KKDW, Fadzmel Fadzil berkata, bekas Menteri Kewangan itu perlu menjelaskan secara terperinci berhubung dakwaan tersebut.

Iklan
Iklan

"Kalau benar ada wang dibelanjakan tanpa kelulusan, kemukakan bukti.

"Kalau benar ada tatacara kewangan yang dilanggar, nyatakan tatacara mana yang dilanggar,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Iklan

Guan Eng sebelum ini menyarankan suatu tindakan perlu dikenakan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan KKDW bagi mengelakkan kementerian lain mengulangi kesalahan sama yang boleh menjejaskan khazanah serta kestabilan kewangan negara.

Fadzmel berkata, dakwaan berhubung KKDW ‘terlebih belanja’ dipercayai merujuk kepada angka yang pernah dikemukakan Kementerian Kewangan sebelum ini.

Iklan

Jelas beliau, angka dan tafsiran berhubung perkara itu telah diperhalusi antara kementerian berkaitan.

"Hari ini, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan sendiri menyatakan secara terang bahawa isu berhubung dakwaan perbelanjaan KKDW itu telah selesai.

"Jadi persoalannya mudah, kalau perkara itu telah diperjelaskan dan diselesaikan di peringkat Kementerian Kewangan dengan KKDW, atas asas apa pula mahu terus digambarkan seolah-olah berlaku penyelewengan?” soalnya.

Tambah Fadzmel, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menjelaskan tiada aduan diterima mengenai perkara itu.

"Macam mana aduan hendak dibuat sedangkan kedua-dua kementerian telah mengemukakan penjelasan masing-masing dan hari ini Kementerian Kewangan sendiri mengatakan isu tersebut telah selesai?

"Sebab itu saya kata Guan Eng sudah terperangkap dengan kenyataan dia sendiri," ujarnya.

Fadzmel mendakwa, kenyataan Ahli Parlimen Bagan itu boleh memberi gambaran negatif terhadap kredibiliti Ahmad Zahid dan memberi kesan kepada pihak yang terlibat.

"Kita tahu beliau cuba membina gambaran seolah-olah terdapat satu kes besar melibatkan KKDW, ternyata sekali lagi beliau gagal.

"Guan Eng tahu bahawa isu ini melibatkan periuk nasi ramai orang Melayu, termasuk kontraktor bumiputera dan ada di antara mereka yang bergantung kepada projek pembangunan luar bandar,” katanya.

Fadzmel turut menasihati Guan Eng supaya memberi tumpuan kepada perkara berkaitan dirinya sendiri.