Menguasai teknologi sejak sekolah rendah sambil membina akhlak, keyakinan diri dan potensi diri menjadi antara kekuatan pendekatan pendidikan Al-Amin Darul Musthofa.
Pendekatan yang menggabungkan literasi digital, kecemerlangan akademik, nilai Islam serta pembangunan murid secara menyeluruh itu membawa sekolah berkenaan meraih anugerah Best Holistic Digital Learning School pada Malaysia Education Star Awards 2026.
Dengan kampus masing-masing di Batu Caves dan Elmina, Al-Amin Darul Musthofa mengetengahkan pendekatan pendidikan holistik yang merangkumi perkembangan intelektual, spiritual, emosi, sosial dan fizikal anak-anak.
Falsafah “Dibimbing dengan Kasih, Berteraskan Iman, Bersedia untuk Masa Depan” menjadi asas dalam membimbing murid menghadapi cabaran dunia yang semakin dipacu teknologi.
Literasi digital sejak sekolah rendah
Antara keunikan Al-Amin Darul Musthofa ialah kerjasama dengan ICDL Asia dalam menawarkan pensijilan literasi digital yang diiktiraf di peringkat antarabangsa kepada murid sekolah rendah.
Melalui pembelajaran berstruktur, murid didedahkan kepada kemahiran produktiviti digital, komunikasi, kolaborasi dalam talian, kesedaran keselamatan siber serta penggunaan teknologi secara bertanggungjawab.
Kemahiran tersebut membantu anak-anak menggunakan teknologi bukan sahaja untuk pembelajaran dan menghasilkan tugasan, malah bekerjasama dengan rakan sambil memahami aspek etika serta keselamatan dalam dunia digital.
Komitmen sekolah dalam bidang berkenaan turut mendapat pengiktirafan menerusi anugerah ICDL Asia Innovative Partner of the Year 2025.
Pengalaman pembelajaran murid turut diperkaya dengan pendedahan kepada kecerdasan buatan (AI), realiti maya (VR), reka bentuk dan percetakan 3D.
Murid diberi peluang meneroka pelbagai konsep, mengembangkan idea dan menghasilkan prototaip, sekali gus mengasah kreativiti, pemikiran kritis serta kemahiran menyelesaikan masalah.
Pendekatan itu menjadikan proses pembelajaran lebih interaktif apabila murid berpeluang meneroka teknologi realiti maya (VR) sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran mereka.
Akhlak dibimbing, amalan baik dihargai
Seiring dengan penguasaan kemahiran digital, aspek pembentukan sahsiah turut diberi perhatian melalui penerapan nilai Islam dalam kehidupan harian di sekolah.
Di kampus Batu Caves, platform AkhlaQ360 digunakan bagi membantu guru merekod dan menghargai tingkah laku positif murid menerusi sistem merit dan demerit yang tersusun.
Sementara itu, kampus Elmina melaksanakan Holistic Student Development (HSD) melalui RewardMe! x StudentQR, yang merangkumi perkembangan intelektual, spiritual, emosi, sosial serta fizikal murid.
Maklumat yang direkodkan membantu guru memantau perkembangan murid selain memberikan bimbingan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.
Pada masa sama, penghargaan terhadap amalan baik menggalakkan penerapan nilai disiplin, tanggungjawab, empati dan hormat dalam kalangan murid.
Paparan nama serta pencapaian murid pula menjadi dorongan kepada mereka untuk terus mengamalkan tingkah laku positif.
Setiap anak ada ruang untuk menyerlah
Pendekatan pembelajaran melalui projek, perbincangan berkumpulan dan pembentangan pula memberikan peluang kepada murid membina keyakinan diri, menyampaikan pandangan serta bekerjasama dengan rakan.
Bakat dan potensi mereka turut dikembangkan menerusi bidang STEM, inovasi, bahasa, pengucapan awam, sukan, seni serta aktiviti al-Quran dan kokurikulum Islam.
Program perkongsian bersama tokoh profesional pula membuka wawasan murid mengenai peluang kerjaya dan masa depan.
Pada masa sama, aktiviti Infaq Kasih Ramadan menyemai nilai keprihatinan melalui penglibatan murid dalam menyediakan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Penggunaan papan pintar dalam aktiviti pembelajaran interaktif dengan bimbingan guru turut melengkapkan pendekatan pendidikan yang diketengahkan sekolah berkenaan.
Gabungan kesemua pendekatan tersebut menawarkan ibu bapa satu pendekatan pendidikan yang membimbing anak-anak menguasai kemahiran masa depan, mengenali potensi diri serta membesar dengan asas keimanan dan akhlak.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 013-2347310 atau melayari laman rasmi sekolah di darulmusthofa.my.