SEREMBAN - Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk meminta minit mesyuarat khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bertarikh 17 April lalu diserahkan kepadanya, meskipun hadir dalam mesyuarat berkenaan.
Menurutnya, dokumen tersebut adalah sulit dan hanya boleh dikeluarkan selepas mendapat pengesahan daripada DKU yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Iklan
Iklan
"Isu ini tidak sepatutnya timbul dan diulang-ulang hanya kerana Menteri Besar telah menghadiri mesyuarat tersebut dengan mengatakan pastinya Menteri Besar tahu apa butiran mesyuarat," katanya di Thread.
Sebelum ini Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Sufian Maradzi dilaporkan berkata, persoalan mengenai Minit Mesyuarat DKU bertarikh 17 April 2026 kekal fundamental kerana rekod yang menjadi asas kepada keputusan mengenai krisis yang berlaku tidak dikemukakan ketika pertikaian mula berlaku.
Ujarnya, sekiranya rekod tersebut diperjelaskan sejak awal, sebahagian besar kekeliruan, pertikaian institusi dan krisis pentadbiran yang menyusul berkemungkinan dapat dielakkan.
Tambah Aminuddin, UMNO Negeri Sembilan perlu merujuk Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) dan peraturan DKU sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
"Semoga UMNO sedar untuk menghentikan segala permainan politik dalam keadaan rakyat resah dan gelisah," katanya.