Penghantar makanan didakwa langgar pelajar di lintasan zebra

Iklan
Muhammad Haziq yang memakai baju kemeja berwarna biru dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Khamis dengan ditemani peguamnya.

SHAH ALAM – Seorang penghantar makanan yang tular dalam kemalangan membabitkan seorang pelajar yang melintas di lintasan zebra, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan memandu secara tidak cermat.

Muhammad Haziq Izzuddin Ruslan, 25, yang memakai baju kemeja berwarna biru, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Muhammad Syafiq Sulaiman.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki bujang itu didakwa sebagai penunggang motosikal jenis Yamaha, memandu kenderaan tersebut di atas jalan tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya terhadap orang lain yang menggunakan jalan berkenaan.

Kejadian itu menyebabkan kemalangan terhadap seorang pejalan kaki di Persiaran Saujana 4, Daerah Sungai Buloh, pada jam 12.08 tengah hari 28 September lalu.

Iklan

Isnin lalu, tular video memaparkan seorang pelajar dilanggar penunggang motosikal di lintasan zebra.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda antara RM5,000 dan RM10,000 serta penjara tidak lebih 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Alia Anisa Khairus Masnan mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Muhamad Saifullah Muhamad Azmi merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana perlu menanggung ibu bapanya yang tidak bekerja.

"Dia tidak mempunyai pendapatan tetap, maka jumlah yang tinggi akan menyukarkan keluarga untuk mengumpul wang bagi ikat jamin.

"Selepas kejadian, dia tidak melarikan diri dan berada bersama mangsa di tepi jalan," katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Muhammad Syafiq membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan supaya dia melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 12 November depan.

Isnin lalu, tular video memaparkan seorang pelajar dilanggar penunggang motosikal ketika melintas di lintasan berkenaan.

Akibat rempuhan, pelajar terbabit kelihatan berguling di atas jalan, sementara penunggang motosikal itu turut terjatuh dan motosikalnya terseret di atas jalan.