KUALA TERENGGANU - Bekas Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris dipercayai memberi bayangan akan menyertai parti baharu susulan hantaran menyentuh mengenai 'wadah baharu' yang dikongsikan di media sosialnya pada Khamis.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri itu berkata, beliau mengambil keputusan untuk berhenti selepas kira-kira 10 tahun bersama pimpinan Bersatu di Terengganu.
"10 tahun sebagai pimpinan Bersatu, hari ini saya berhenti.
"Insya-ALLAH, saya jalan terus dengan wadah baru. Jangan kecam deh," tulisnya dalam hantaran berkenaan yang sekaligus mencetuskan tanda tanya mengenai hala tuju politiknya.
Hantaran tersebut turut menimbulkan persoalan sama ada ia merujuk kepada keputusan untuk meninggalkan Bersatu sepenuhnya.
Pada 7 Ogos lalu, Razali dilaporkan melepaskan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri selepas menerajui parti itu di Terengganu selama kira-kira sedekad.
Bagaimanapun, setakat hantaran dibuat, bekas Ketua Penerangan Bersatu Malaysia itu belum memberikan penjelasan lanjut mengenai maksud 'wadah baharu' berkenaan atau status keahliannya dalam parti itu.
Perkembangan terbaharu ini dijangka menjadi tumpuan ramai memandangkan kedudukan Razali yang sebelum ini merupakan antara pemimpin utama Bersatu di Terengganu.