Harga diesel tanpa subsidi turun 15 sen

Iklan
Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing turun lima sen seliter, manakala diesel tanpa subsidi turun 15 sen seliter bagi tempoh 1 hingga 7 Oktober 2026.

SHAH ALAM - Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing turun lima sen seliter, manakala diesel tanpa subsidi turun 15 sen seliter bagi tempoh 1 hingga 7 Oktober 2026.

Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan harga baharu RON97 ditetapkan pada RM5 seliter, RON95 tanpa subsidi RM4.52 dan diesel tanpa subsidi RM5.27 seliter.

Iklan
Iklan

Menurut MoF, penurunan itu berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), susulan penyederhanaan purata harga minyak mentah dunia dalam tempoh pengiraan susulan penyambungan semula operasi saluran paip East-West Arab Saudi.

"Diesel tanpa subsidi pula berkurang kepada RM5.27 seliter berbanding RM5.42 seliter sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Kementerian memaklumkan, harga petrol bersubsidi yang dikekalkan ialah RM1.99 seliter bagi RON95 (BUDI95), RM2.10 bagi diesel (BUDI Diesel), RM2.05 bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan RM2.15 bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Menurutnya, bekalan produk petroleum bertapis di Asia menunjukkan tanda pemulihan apabila eksport produk petroleum bertapis China pada September dianggarkan melebihi empat juta tan, berbanding purata kira-kira tiga juta tan sebulan pada tahun lalu.

Iklan

MoF menambah, peningkatan bekalan terbabit membantu mengurangkan sebahagian tekanan terhadap harga produk petroleum serantau.

Bagaimanapun, kongsinya, pemulihan bekalan global masih tidak sekata apabila sebuah lagi loji penapisan utama Rusia di Perm terpaksa menghentikan operasi selepas serangan dron Ukraine pada minggu lalu, sekali gus mengehadkan bekalan diesel dari Rusia ke pasaran antarabangsa.

MoF berkata, ketidaktentuan harga produk petroleum dijangka berterusan selagi konflik antara Amerika Syarikat dan Iran belum diselesaikan.

"Sebarang serangan baharu di Asia Barat juga berisiko memberi tekanan semula terhadap harga minyak dan produk petroleum, manakala pemulihan kapasiti penapisan global kekal penting bagi mengurangkan tekanan harga dalam jangka sederhana," katanya.