CCR’26 kumpul dana RM500,000, libat 5,000 peserta

Iklan
Pemenang larian bergambar kenangan bersama Lotus’s Malaysia.

PETALING JAYA - Jenama pasar raya terkemuka, Lotus’s (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM500,000 menerusi acara Lotus’s Ceria Charity Run (CCR’26) pada Ahad.

Penganjuran edisi keempat itu telah disertai 5,000 peserta larian dalam usaha menyokong pendidikan dan keperluan 50,000 pelajar di bawah inisiatif sekolah angkat iaitu Program Sekolah SMART Up Lotus’s - PINTAR.

Iklan
Iklan

Pengarah Eksekutif dan Perkhidmatan Korporat Lotus’s Malaysia, Azliza Baizura Azmel berkata, jumlah kutipan dana tersebut yang tertinggi pernah direkodkan sejak larian amal diperkenalkan pada 2023.  

AZLIZA

Iklan

Menurut beliau, kerjasama strategik yang terjalin bersama Yayasan PINTAR sejak 2016 adalah sebahagian daripada teras pendidikan kempen #KitakanJiran.  

“Smart Shopper Plus merupakan salah satu program pendidikan di bawah Program Sekolah SMART Up Lotus’s – PINTAR yang bertujuan mendidik pelajar mengenai pengurusan kewangan secara praktikal.

Iklan

“Hasil kutipan daripada CCR’26 untuk membantu pelaksanaan program tersebut. Sejak Ogos 2025, Smart Shopper Plus memanfaatkan 2,394 pelajar dari 21 sekolah angkat Lotus’s Malaysia di tujuh negeri, dengan kadar pencapaian objektif program 96 peratus.

“Bengkel sehari yang memberi penekanan kepada literasi kewangan ini merangkumi modul seperti cara membezakan keperluan dan kehendak, penyediaan bajet yang bijak serta amalan perbelanjaan berhemah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas CCR’26 bertempat di Lotus’s Malaysia cawangan Ara Damansara, di sini pada Ahad.

Melalui kerjasama tersebut, Azliza memaklumkan hasil kutipan CCR’26 akan membantu mempercepatkan pencapaian sasaran tersebut.

Azliza (kiri) menghulurkan dua beg cenderamata kepada setiap peserta larian amal CCR'26.

Katanya, sebanyak RM20 disalurkan menerusi penyertaan CCR’26 demi menyokong inisiatif berkenaan.

Jelas beliau, peserta juga digalakkan memberi  sumbangan tambahan menerusi pembelian jersi edisi khas CCR’26 pada harga hanya RM30 dan ia turut disalurkan sepenuhnya bagi tujuan sama.

Menurut Azliza, Lotus’s Malaysia turut mencipta kelainan apabila julung kali memperkenalkan Larian Separuh Marathon Kompetitif 21.1 kilometer (km) bagi kategori Terbuka, Veteran, Lelaki dan Wanita dalam CCR’26.

“Penambahan baharu ini melengkapkan kategori Shop & Run 5km dan 10km yang kembali dianjurkan, sekali gus menawarkan peluang penyertaan buat pelari daripada pelbagai peringkat kemampuan.

“Walaupun berlari dalam keadaan hujan renyai, peserta tetap bersemangat dan meneruskan larian hingga ke garisan penamat. Saya cukup terharu dengan kesungguhan yang ditunjukkan peserta,” ujarnya.

60 sekolah terima manfaat

Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan PINTAR, Norzalina Masom berkata, kolaborasi strategik antara badan bukan kerajaan (NGO) dengan syarikat korporat di Malaysia berupaya memenuhi keperluan pelajar sekolah kerajaan yang sukar mendapat akses bantuan persekolahan.

NORZALINA

“Setakat ini, terdapat lebih 60 sekolah di seluruh negara yang berdekatan cawangan Lotus’s Malaysia menerima manfaat daripada program ini.

“Pelbagai program yang kami jalankan untuk membantu menaikkan prestasi dan kemenjadian pelajar sekolah, khususnya ilmu pengurusan kewangan sejak kecil.

“Ia penting agar pelajar tidak menjadi boros, bijak urus perbelanjaan mereka,” kata Norzalina.

CCR’26 turut mendapat sokongan daripada Penaja Eksklusif seperti Milo, Omega, Nestum, Nescafe, Maggi, KitKat, Nestle Ice Cream, Enercal dan Heitech.

Penaja Platinum turut memeriahkan acara berkenaan iaitu Chipsmore, Jacobs, Tiger dan TanjongEx.

Acara tersebut turut disokong oleh 66 penaja bagi kategori Emas, Perak dan Gangsa.

Penyampaian cek replika kepada Yayasan PINTAR serta 10 cabutan bertuah seperti Zero ZT-DynamiQ Treadmill dan Zero Atlas Lite Massage Chair mengakhiri acara itu sekitar jam 10 pagi.