MANCHESTER City berdepan kemungkinan dikenakan hukuman berat selepas suruhanjaya bebas mendapati kelab itu melakukan pelanggaran serius peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL) sepanjang tempoh sembilan musim.
City didapati mengatur kontrak 'palsu' dengan beberapa rakan komersial bagi meningkatkan pendapatan kelab dan mengurangkan kos lebih £900 juta (RM4.8 bilion) antara 2009 hingga 2018.
Tindakan itu menyebabkan keadaan kewangan sebenar kelab disembunyikan, sekali gus membolehkan City mengelak daripada melanggar had perbelanjaan yang ditetapkan EPL serta UEFA.
Ketua Eksekutif EPL, Richard Masters berkata, keputusan tersebut menetapkan fakta mengenai apa yang berlaku di Manchester City sepanjang tempoh berkenaan, selain memperincikan bagaimana kelab itu melanggar peraturan EPL secara sistematik selama hampir sedekad.
"Kes tatatertib ini dan keputusan tersebut adalah yang paling penting dalam sejarah EPL.
"Dengan keputusan suruhanjaya sudah diperoleh, kami komited untuk bergerak pantas menyelesaikan proses seterusnya bagi memberikan kepastian kepada liga, kelab-kelab serta penyokong," katanya dalam satu kenyataan.
Suruhanjaya mendapati City mengatur perjanjian komersial yang menyaksikan syarikat terbabit hanya perlu membayar sebahagian daripada jumlah penajaan yang dipersetujui, manakala baki bayaran dibiayai Abu Dhabi United Group Investment and Development (ADUG) milik Sheikh Mansour bin Zayed al-Nahyan, yang juga pemilik kelab.
Beberapa aturan lain yang dibiayai ADUG turut membolehkan City merekodkan perbelanjaan operasi lebih rendah daripada jumlah sebenar yang ditanggung.
Akibatnya, City gagal melaporkan pendapatan dan perbelanjaan sebenar secara tepat bagi memenuhi peraturan kelestarian kewangan EPL dan UEFA.
Skim berkenaan didapati meningkatkan pendapatan City lebih £830 juta (RM4.4 bilion), manakala pendapatan daripada hak imej dilebihkan hampir £74 juta (RM399 juta).
Pada masa sama, liabiliti kontrak kakitangan dilaporkan kurang hampir £17 juta (RM91 juta) daripada jumlah sebenar.
Suruhanjaya mendapati City melanggar had perbelanjaan 'dengan jumlah yang sangat besar' sekiranya kelab itu melaporkan kedudukan kewangannya secara tepat.
Kelab itu turut didapati bersalah atas majoriti pertuduhan berkaitan kegagalan memberikan kerjasama dalam siasatan yang dijalankan EPL.
Bagaimanapun, tiada hukuman dikenakan setakat ini dan City berkata mereka akan merayu keputusan berkenaan.
Keputusan itu dijangka memberi kesan besar kepada bola sepak England, dengan kedudukan City dalam EPL kini berdepan risiko serta persoalan sama ada kejuaraan yang dimenangi kelab itu boleh dilucutkan.