KUALA LUMPUR - Sebanyak 33 kawasan di beberapa negeri termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Terengganu, Perak dan Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat pagi ini.
Menurut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johan Setia di Selangor mencatat bacaan tertinggi iaitu 176, diikuti Cheras, Kuala Lumpur (173), Nilai, Negeri Sembilan (171) dan Shah Alam, Selangor (170).
Beberapa kawasan lain turut merekodkan bacaan tidak sihat melebihi 160, termasuk Pasir Gudang, Johor (169), Batu Muda, Kuala Lumpur (166), Putrajaya (165), Larkin, Johor (165), Seremban (164), Klang (163), Indera Mahkota dan Balok Baru di Kuantan, Pahang (masing-masing 163).
Di Selangor, selain Johan Setia dan Shah Alam, keadaan tidak sihat turut direkodkan di Petaling Jaya (161), Banting (160) dan Kuala Selangor (154).
Johor antara negeri yang paling terjejas dengan tujuh stesen merekodkan bacaan tidak sihat, termasuk Pasir Gudang (169), Larkin (165), Kota Tinggi (160), Pengerang (155), Batu Pahat (154), Tangkak (152), Kluang (131) dan Segamat (115).
Di Melaka, Bandaraya Melaka mencatat bacaan 160, diikuti Bukit Rambai (156) dan Alor Gajah (136).
Terengganu pula menyaksikan Kuala Terengganu merekodkan IPU 157, manakala Kemaman dan Paka masing-masing mencatat 154 dan 152.
Di Pahang, selain dua kawasan di Kuantan, Rompin mencatat bacaan 152 dan Jerantut 132.
Sementara itu, Seri Manjung di Perak merekodkan bacaan 154, Tanjung Malim 146 dan IPD Serian di Sarawak mencatat bacaan 140.
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat dan boleh memberi kesan kepada golongan sensitif seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan dan jantung.
Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, memakai pelitup muka jika perlu berada di kawasan terbuka serta mendapatkan maklumat terkini mengenai kualiti udara melalui laman sesawang APIMS. - Awani