Cemas selepas langgar kereta, warga emas rempuh kedai makan

Iklan
Kereta dipandu warga emas merempuh dua kenderaan dan sebuah kedai makan di Taman Daya, Johor Bahru. Foto tular

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas dipercayai tersalah menekan pedal minyak ketika mengundurkan kereta dipandunya lalu melanggar dua kereta lain serta sebuah kedai makan di Taman Daya di sini, petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffie berkata, video tular membabit insiden itu dikesan kira-kira jam 2.20 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila lelaki tempatan berusia 69 tahun itu selesai bersarapan di sebuah premis kedai makan sebelum bergerak pulang ke kediamannya di Jalan Daya.

“Ketika cuba mengundurkan Toyota Camry, warga emas itu dipercayai tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan bergerak ke belakang sebelum melanggar sebuah Proton Saga berwarna putih yang diletakkan di bahagian belakang.

Iklan

“Selepas berlaku pelanggaran, lelaki berkenaan menjadi cemas lalu menekan pedal minyak menyebabkan kenderaan bergerak secara mengundur dan melanggar sebuah lagi Toyota Camry berwarna putih yang berada di hadapan premis kedai makan.

“Kenderaan berkenaan kemudian terus bergerak sebelum memasuki premis kedai makan terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, akibat kejadian itu, dua kenderaan lain serta premis kedai makan berkenaan mengalami kerosakan.

“Punca kemalangan dipercayai berlaku akibat kecuaian pemandu ketika menekan pedal minyak sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan melanggar kenderaan lain serta premis kedai makan,” katanya.

Menurut Azrul Hisham, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.