SHAH ALAM - Nama Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali pernah diabadikan pada satu spesies kumbang daun yang dinamakan Cerophysa sitihasmah.
Perkara itu dikongsikan pakar entomologi tempatan, Mohamed Salleh Mohamedsaid, menerusi satu hantaran di Facebook berhubung kenangannya menamakan spesies kumbang berkenaan kira-kira 20 tahun lalu.
Hantaran tersebut turut disertakan surat maklum balas daripada Tun Dr Hasmah kepada Mohamed Salleh bertarikh 11 Januari 2005, selepas beliau dimaklumkan mengenai spesies kumbang yang membawa namanya itu.
Menerusi surat yang dikeluarkan Pejabat Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Hasmah menyatakan rasa terkejut, namun gembira apabila mengetahui kumbang daun berkenaan membawa namanya.
“Saya benar terkejut tetapi berasa gembira bahawa kumbang daun yang membawa nama saya itu, harap saya, tidak jenis yang ganas! Kulitnya cantik dan berkilat,” kongsinya.
Tun Dr Hasmah turut merakamkan penghargaan atas penghormatan berkenaan yang disifatkannya sebagai kali pertama namanya digunakan untuk sesuatu yang bukan daripada kategori flora.
“Saya ucapkan tahniah atas penyelidikan yang dilakukan sebelum ini,” tulisnya lagi.
Surat berkenaan turut memaparkan tajuk ‘Cerophysa sitihasmah’ merujuk kepada spesies baharu yang dinamakan sempena nama beliau.
Melalui carian, Sinar Harian menemukan kajian dilakukan Mohamed Salleh yang menjelaskan bahawa nama sitihasmah diberikan sebagai penghormatan kepada Tun Dr Hasmah, yang ketika itu merupakan 'First Lady of Malaysia'.
Berdasarkan jurnal kajian itu, spesies Cerophysa sitihasmah merupakan antara empat spesies baharu kumbang daun daripada genus Cerophysa yang diperincikan Mohamed Salleh dalam kajian bertajuk New species of Cerophysa Chevrolat from Southeast Asia (Coleoptera: Chrysomelidae: Galerucinae).
Kajian tersebut turut merekodkan spesimen Cerophysa sitihasmah dari Chegar Perah, Kuala Lipis, Pahang, yang dikumpulkan pada 1975, manakala spesimen holotaip jantan itu disimpan di Centre for Insect Systematics, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.