Kerajaan tidak biar isu pelarian berlarutan, selesaikan ikut undang-undang

Iklan
Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR - Kerajaan Madani tidak akan membiarkan permasalahan legasi isu kehadiran pelarian asing terus berlarutan, sebaliknya mula menyelesaikannya secara tegas, tersusun dan berperingkat berlandaskan keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, seramai 5,000 pelarian Myanmar telah dimuktamadkan untuk menjalani program penghantaran pulang secara sukarela dan berperingkat ke negara asal, berasaskan persetujuan Kerajaan Myanmar untuk menerima mereka serta persetujuan individu berkenaan untuk pulang secara sukarela.

Iklan
Iklan

"Hari ini, 1,476 individu memulakan fasa pertama penghantaran pulang, berdasarkan senarai yang dikemukakan oleh Kerajaan Myanmar melalui nota diplomatik rasmi.

"Pelaksanaan ini diselaraskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Imigresen Malaysia serta agensi berkaitan. Penyelesaian ini turut dicapai melalui pendekatan diplomatik dan rundingan secara langsung dengan Kerajaan Myanmar,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Saifuddin Nasution berkata, kehadiran pelarian asing, khususnya dari Myanmar telah berlarutan berpuluh tahun tanpa penyelesaian tuntas sehingga menjadi beban kewangan yang besar kepada negara, mencetuskan krisis sosial yang serius serta mewujudkan ancaman keselamatan yang nyata kepada rakyat.

Beliau berkata, bagi isu yang melibatkan dua negara, tindakan penguatkuasaan semata-mata tidak memadai, sebaliknya ia memerlukan kerjasama negara asal bagi membolehkan proses penerimaan, dokumentasi dan penghantaran pulang dilaksanakan secara teratur dan berperingkat.

Iklan

"Walaupun Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, kami memilih pendekatan yang tegas tetapi berperadaban berteraskan nilai Ihsan dan semangat kekeluargaan ASEAN, dengan setiap tindakan dilaksanakan secara teratur dan bertanggungjawab tanpa berkompromi terhadap keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata, fasa pertama hari ini adalah satu permulaan manakala fasa-fasa seterusnya akan diteruskan sebaik sahaja proses pengenalpastian, dokumentasi, verifikasi serta kesiapsiagaan operasi disempurnakan.

"Masalah legasi yang telah berlarutan sekian lama, kami mula selesaikan berlandaskan undang-undang. Kedaulatan negara kita pelihara. Keselamatan, kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan,” katanya.

Sebanyak 1,476 tahanan pelarian Myanmar terdiri daripada 1,370 lelaki, 79 wanita serta 27 kanak-kanak dihantar pulang dalam fasa pertama di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Lumut, Perak pada Selasa.

Proses penghantaran pulang itu dilaksanakan menggunakan kapal milik Tentera Laut Myanmar, iaitu Kapal UMS Moattama, kapal pengiring UMS King Sin Phyu Shin dan kapal hospital UMS Thanlwin. - Bernama