Pesawat terbang rendah sekitar SIC sempena F1 GP Bahrain - CAAM

Iklan
Orang ramai di sekitar SIC dan kawasan berdekatan dinasihatkan supaya tidak cemas sekiranya melihat pesawat terbang pada altitud lebih rendah daripada biasa mulai esok hingga Ahad ini sempena perlumbaan F1 GP Bahrain.

SEPANG - Orang ramai di sekitar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan kawasan berdekatan dinasihatkan supaya tidak cemas sekiranya melihat pesawat terbang pada altitud lebih rendah daripada biasa mulai esok hingga Ahad ini sempena perlumbaan Formula 1 (F1) Gulf Air Grand Prix (GP) Bahrain.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan operasi penerbangan rendah itu dijadualkan berlangsung antara jam 2 hingga 3 petang sepanjang tempoh berkenaan, meliputi SIC dan kawasan sekitarnya di Sepang, Selangor.

Iklan
Iklan

Operasi itu bagi memberi laluan kepada pertunjukan udara (fly-past) oleh Gulf Air pada hari perlumbaan Ahad ini, manakala raptai dijadualkan berlangsung esok.

"Operasi ini telah diselaraskan dengan pihak berkuasa berkaitan dan akan dilaksanakan mengikut keperluan keselamatan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Iklan

CAAM turut mengingatkan orang ramai bahawa pengendalian dron tanpa kebenaran di ruang udara terjejas adalah dilarang sepanjang acara berkenaan kerana boleh mendatangkan risiko serius kepada pesawat yang terbang rendah serta individu di darat.

Menurut CAAM, pengendali dron perlu mendapatkan kebenaran sewajarnya sebelum melakukan sebarang penerbangan.

Iklan

"Pengendali yang menerbangkan dron tanpa kebenaran boleh dikenakan siasatan dan tindakan penguatkuasaan mengikut Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 serta undang-undang lain yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, CAAM meminta orang ramai dan pengendali dron mematuhi sekatan berkenaan serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

CAAM memaklumkan ruang udara terjejas perlu dipastikan bebas daripada sebarang gangguan bagi menjamin kelancaran dan keselamatan operasi pesawat, selain keselamatan pengunjung serta penduduk di kawasan sekitar.

SIC kembali menjadi pentas F1 selepas sembilan tahun apabila dipilih sebagai lokasi penganjuran GP Gulf Air Bahrain susulan pembatalan perlumbaan di Bahrain yang sepatutnya berlangsung pada April lepas berikutan situasi keselamatan di rantau Timur Tengah.

SIC sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia selama hampir dua dekad, bermula dengan perlumbaan sulung pada 1999 sebelum edisi 2017 menjadi yang terakhir selepas kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan penganjurannya. - Bernama