'Orang Melayu, umat Islam berdepan krisis adab' - Sultan Nazrin

Iklan
Sultan Nazrin. Foto fail Bernama

PUTRAJAYA - Bangsa Melayu dan umat Islam sedang berdepan krisis adab apabila perbincangan serta perdebatan berubah menjadi pertikaian diselubungi permusuhan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah, situasi sedemikian dapat dilihat ketika apa sahaja berita yang belum dipastikan kesahihannya disebar tanpa menghiraukan dosa dan aib, manakala perbezaan pandangan bertukar menjadi permusuhan.

Iklan
Iklan

"Bangsa Melayu dan umat Islam sedang menghadapi krisis adab. Krisis adab tidak boleh dipandang sebagai perkara kecil kerana keruntuhan sesebuah masyarakat sering bermula dengan keruntuhan nilai dan akhlaknya.

"Bangsa dan ummah perlu menghidupkan kembali adab dalam berkomunikasi termasuk ketika berbeza pendapat. Kita boleh tidak bersetuju tanpa perlu menghina, menegur tanpa mengaibkan serta mempertahankan kebenaran tanpa kehilangan kebijaksanaan dan belas ihsan," katanya.

Iklan

Baginda menyampaikan titah tersebut dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-75 di Kompleks Islam, di sini pada Selasa.

Sultan Nazrin turut bertitah, keupayaan untuk menyampaikan pandangan berbeza tanpa permusuhan mencerminkan kepentingan konsep syura atau rundingan bersama serta adab dan tingkah laku beretika.

Iklan

Baginda menegaskan, syura membabitkan proses berbincang dan bertukar pandangan sebelum sesuatu keputusan dibuat, manakala adab menuntut seseorang itu mendengar dengan penuh hormat, mempertimbangkan perbezaan pendapat dan berusaha mencapai keputusan yang bermanfaat demi kepentingan bersama.

"Kekuatan sebenar tidak lahir daripada keseragaman pandangan. Sebaliknya, ia terletak pada keupayaan kita untuk berbeza pandangan tanpa permusuhan, menegur tanpa mengaibkan serta membuat keputusan bersama dengan penuh integriti dan tanggungjawab," titahnya.

Sultan Nazrin menambah, adab bukan sekadar kesopanan dan budi bahasa, tetapi juga merangkumi hubungan individu dengan ALLAH SWT, sesama manusia, alam semula jadi serta diri sendiri.

Jelas baginda, adab turut menuntut seseorang untuk menghargai ilmu dan memuliakan guru, sambil menyifatkan perkara itu sebagai manifestasi ilmu, pelindung kebebasan serta asas keharmonian.

"Apabila adab dipelihara, perbezaan dapat diuruskan. Tetapi apabila adab diabaikan, ilmu dan kuasa sekalipun boleh menjadi punca perpecahan," titah Sultan Nazrin.

Baginda menekankan bahawa prinsip itu menuntut pemimpin supaya sentiasa merendah diri, mendengar pandangan berbeza, menerima teguran dan mempertimbangkan nasihat dengan hati terbuka.

"Syura bukan ruang untuk bebas bercakap sesuka hati tanpa batas. Kebebasan bersuara bukanlah kebebasan untuk menghina, manakala perbezaan pendapat bukan alasan untuk menuduh, merendah-rendahkan jauh sekali menghina apatah lagi memfitnah orang lain.

"Dalam bermusyawarah, kita hendaklah mencerminkan adab, berkata benar berasaskan ilmu dan fakta, bertutur dengan tertib lagi bersopan, menghormati perbezaan pandangan serta menghargai dengan memberikan ruang kepada mereka yang berpengalaman dan pengetahuan," tegas baginda lagi.