KOTA BHARU - Dewan Utama Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di sini kini diberi perhatian khusus dari aspek keselamatan dan kesiapsiagaan bagi memastikan kelancaran Program Wanita Kelantan #QuranHour yang dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 wanita dari seluruh pelusok negeri ini dan luar pada 10 Oktober depan.
Pengarah Program Wanita Kelantan #QuranHour, Dr Syarifah Mastura Syed Mohamad berkata, persiapan termasuk aspek keselamatan, kemudahan infrastruktur, persekitaran dewan serta kawasan parkir diberi keutamaan bagi memastikan program berprestij itu berlangsung dalam keadaan selamat dan teratur.
Menurut beliau, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Unit Keselamatan dan Kebajikan Program Wanita Kelantan #QuranHour 2026 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pusat Penyelidikan dan Perkhidmatan Haiwan di sini pada Isnin.
"Mesyuarat ini penting bagi memastikan Dewan Utama USM dan kawasan sekitarnya benar-benar berada dalam keadaan baik serta selamat untuk digunakan pada hari program.
"Kerjasama pihak pengurusan keselamatan USM juga amat baik apabila Pembantu Keselamatan Kanan Jabatan Keselamatan USM, Mohd Asmawi Omar turut hadir bagi memberi pandangan dan memastikan segala persiapan dilaksanakan seperti dirancang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri 12 ahli jawatankuasa kecil diketuai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kebajikan, Dr Suziati Mohd Bukri.
Dr Syarifah Mastura memberitahu, pihak keselamatan USM turut memberi jaminan bahawa persiapan dewan dan persekitarannya akan berada dalam keadaan siap siaga sebelum program berlangsung.
"Selepas mesyuarat, ahli jawatankuasa turut dibawa meninjau sendiri dewan utama bagi melihat susun atur pentas, kedudukan audio, kaunter pendaftaran, ruang VIP dan kemudahan lain yang akan digunakan sepanjang program.
"Peninjauan ini penting supaya setiap perkara dapat dikenal pasti dan diselaraskan lebih awal," katanya.
Ujar beliau, program yang dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 wanita itu bakal dirasmikan oleh Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Datuk Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.
Menurut Syarifah Mastura, program berkenaan diharap memberi impak positif terhadap pengukuhan emosi ummah, khususnya dalam kalangan wanita.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Keselamatan USM atas komitmen dan kerjasama yang diberikan bagi memastikan kelancaran program berkenaan.