Baru Tahun Satu, Auna sudah ‘layan jiwa’ lagu cinta 90-an

Iklan
Auna dalam video tular menyanyikan lagu Hajat dan si cilik itu turut hafal hampir kesemua lagu Azie. Kredit/ TikTok @lupadaratan96.

SHAH ALAM - Siapa sangka seorang kanak-kanak yang hanya berusia tujuh tahun rupa-rupanya peminat setia lagu genre cinta dan 'tangkap leleh' era 90-an.

Menjadikan penyanyi bersuara lunak, Azie sebagai idola, Aunatullah Uzhma Muhamad Hasnol atau mesra disapa Auna mencuri tumpuan pengguna media sosial TikTok dengan video nyanyiannya yang bernada tinggi dan penuh penghayatan.

Iklan
Iklan

Bapa tunggal, Muhamad Hasnol Jeefri, 30, berkata, dia tidak menyangka Auna memiliki bakat menyanyi dan hanya menyedarinya selepas anak bongsu daripada dua adik-beradik itu kerap mendendangkan lagu-lagu bukan sezamannya setiap kali di dalam bilik air.

Pemandu lori asal Kuching, Sarawak itu memberitahu, terdapat kisah pilu di sebalik mengapa Auna lebih menyukai lagu lama berbanding lagu 'trendy' zaman kini.

Iklan

"Saya baru sahaja berpisah sekitar Januari lalu dan anak-anak di bawah jagaan saya. Auna suka karaoke lagu-lagu yang saya dengar sejak dia berusia empat tahun lagi.

"Lama-kelamaan, Auna dah boleh hafal satu lagu bukan bahagian korus sahaja. Tak sangka pula orang suka tengok budak kecil macam dia nyanyi lagu orang tua, kalau lagu zaman sekarang Auna tak berapa minat," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Dua atau tiga bulan kebelakangan ini tular video di TikTok memaparkan seorang kanak-kanak perempuan menyanyikan lagu-lagu era 90-an sehinggakan pengguna menjadikannya sebagai 'template' edit konten melayan perasaan sambil menggamit kenangan cinta lama.

Ketika orang ramai memilih lagu 'trendy' seperti Rollerblade atau Teh Hijau sebagai penyedap halwa telinga, lain pula kisahnya dengan Auna meskipun dilahirkan pada 2019 dan dikategorikan Generasi Alpha.

Antara lagu yang turut menjadi siulannya ialah Hajat nyanyian Haida dan Tiada Tangis Lagi oleh Ella.

Ditanya lebih lanjut, Muhamad Hasnol mengakui terbuka sekiranya Auna mahu mengembangkan lagi bakat nyanyiannya itu.

Bagaimanapun, jelasnya, tumpuan kepada pelajaran mesti diutamakan walaupun kecenderungan Auna buat masa ini ke arah seni suara.

"Saya terbuka kalau Auna nak teruskan hobi menyanyi atau sertai mana-mana pertandingan nyanyian asalkan dia bahagia dengan caranya, saya sokong sahaja.

"Tetapi kalau boleh saya tak mahu Auna lupakan pelajaran kerana dia kecil lagi dan masih bersekolah, baru Darjah Satu. Kalau ada rezeki insya-ALLAH boleh cuba nasib," ujarnya.