MBSA teliti keselamatan laluan basikal susulan aduan penunggang motosikal terjatuh

Iklan
Perkongsian di TikTok mengenai seorang penunggang motosikal mendakwa terjatuh ketika melalui laluan basikal di Persiaran Dato’ Menteri, Seksyen 14 Shah Alam menjadi tular.

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan segera meneliti faktor yang berpotensi menjejaskan keselamatan laluan basikal di Persiaran Dato’ Menteri, Seksyen 14 di sini selepas seorang penunggang motosikal dilaporkan terjatuh ketika melalui kawasan berkenaan.

MBSA dalam kenyataan berkata, penelitian itu meliputi aspek penyelenggaraan laluan serta interaksi antara laluan basikal dengan pengguna jalan raya lain.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, laluan basikal adalah kesinambungan daripada laluan basikal sedia ada di Pusat Bandar, Seksyen 14, yang disediakan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ketika pelaksanaan projek pembinaan LRT3.

"Penyediaan laluan ini adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh kemudahan mobiliti aktif serta meningkatkan keterhubungan antara kawasan bandar dengan kemudahan pengangkutan awam khususnya stesen LRT.

Iklan

"MBSA juga akan mengadakan perbincangan bersama pihak Prasarana bagi mengenal pasti serta menyelaraskan tindakan penambahbaikan yang bersesuaian dan boleh dilaksanakan dengan segera," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, perkongsian di TikTok mengenai seorang penunggang motosikal mendakwa terjatuh ketika melalui laluan itu akibat keadaan permukaan jalan yang didakwa licin menjadi tular.

Iklan

Menerusi hantaran itu, individu terbabit mendakwa keadaan jalan itu perlu diberi perhatian selepas doktor dan kakitangan hospital memaklumkan terdapat beberapa kes penunggang motosikal terjatuh dan kemalangan dipercayai berkaitan permukaan jalan licin.

Pemilik akaun TikTok itu turut mendakwa, terdapat kenderaan berpusing akibat keadaan cat jalan yang licin di lokasi berkenaan.

"Pihak berkuasa diharap dapat turun padang bagi menyiasat keadaan permukaan jalan termasuk bahan atau cat yang digunakan, selain mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

"Kita bukan nak tuduh sesiapa tanpa bukti, cuma nak jalan lebih selamat untuk semua,” katanya.

Mengulas lanjut, MBSA berkata, langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan pengguna laluan itu sentiasa diberi perhatian.

"MBSA akan sentiasa memastikan kemudahan infrastruktur dan laluan mobiliti aktif di Shah Alam berada dalam keadaan selamat, selesa dan kondusif demi kesejahteraan semua pengguna," tambah beliau.