SHAH ALAM – Kerajaan dan Parlimen digesa memperkukuh Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat (FOI) Persekutuan bagi menjamin hak rakyat mendapatkan maklumat melalui undang-undang yang berkesan serta boleh dikuatkuasakan.
Gesaan itu disuarakan menerusi kenyataan bersama Pengarah Eksekutif Centre for Independent Journalism (CIJ), Wathshlah Naidu; Nalini Elumalai daripada ARTICLE 19; dan Prishanth Linggaraj daripada Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center) sempena Hari Antarabangsa Akses Sejagat kepada Maklumat (IDUAI).
Menurut mereka, RUU tersebut masih memerlukan penambahbaikan bagi memenuhi piawaian antarabangsa berkaitan ketelusan dan akses kepada maklumat.
“Rang undang-undang itu perlu diperkukuh kerana penilaian Centre for Law and Democracy hanya memberikan 47 daripada 150 mata berdasarkan metodologi Right to Information Rating,” kata mereka dalam kenyataan bersama pada Isnin.
Mereka berpandangan bahawa rang undang-undang itu masih belum mencapai standard yang sewajarnya untuk dianggap sebagai undang-undang ketelusan yang komprehensif.
Bagaimanapun, mereka mengalu-alukan langkah kerajaan memperkenalkan RUU berkenaan serta merujukkannya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) selepas bacaan pertama pada Julai lalu.
Menurut mereka, undang-undang tersebut perlu selaras dengan Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, prinsip undang-undang antarabangsa serta cadangan yang dikemukakan masyarakat sivil.
“Antara tuntutan utama ialah menjadikan pendedahan maklumat sebagai prinsip asas dan kerahsiaan sebagai pengecualian.
“Selain itu, undang-undang FOI tidak seharusnya dilemahkan oleh peruntukan sedia ada termasuk Akta Rahsia Rasmi,” menurut kenyataan tersebut.
Mereka turut menggesa penubuhan Suruhanjaya FOI sebagai badan pemantau bebas yang mempunyai kuasa menyemak penolakan permohonan maklumat, mengarahkan pendedahan dokumen serta memantau pelaksanaan undang-undang itu.
Tuntut ketelusan berkaitan pengampunan bersyarat Najib
Dalam kenyataan sama, mereka turut menggesa kerajaan mendedahkan dokumen berkaitan pengampunan bersyarat dan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut mereka, pendedahan itu penting bagi membolehkan orang ramai memahami asas sesuatu keputusan yang dibuat.
“Dokumen tersebut termasuk minit mesyuarat Lembaga Pengampunan, representasi bertulis Peguam Negara, syarat penuh tahanan rumah serta asas perundangan yang digunakan dalam pelaksanaannya,” kata mereka.
Mereka juga menuntut pendedahan berhubung mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan serta perbelanjaan awam yang berkaitan dengan pengaturan tersebut.
Menurut kenyataan tersebut, tuntutan itu bukan bertujuan mempertikaikan kuasa pengampunan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya menuntut tahap ketelusan yang lebih tinggi dalam pelaksanaannya.
“Kuasa berperlembagaan bukan lesen untuk kerahsiaan institusi,” menurut kenyataan itu.
Mereka menegaskan bahawa akses kepada maklumat awam yang tepat, sahih dan tepat pada masanya amat penting untuk memastikan penyertaan rakyat yang bermaklumat, meningkatkan akauntabiliti serta memperkukuh keyakinan terhadap institusi awam.
Pada masa sama, mereka mengumumkan pelancaran satu kempen bagi menilai dan memaparkan tahap sokongan Ahli Parlimen terhadap RUU FOI yang lebih kukuh, dengan maklumat lanjut akan dikongsikan menerusi media sosial dalam masa terdekat.