Suami isteri maut, anak empat tahun cedera nahas dua kenderaan

Iklan
Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Gemencheh pada Isnin. Gambar hiasan

TAMPIN - Sepasang suami isteri maut manakala anak lelaki mereka berusia empat tahun cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Gemencheh di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, dalam kejadian pada 10.55 pagi itu, wanita berusia 26 tahun yang juga penumpang hadapan kereta Proton Wira meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya berusia 27 tahun yang memandu kereta berkenaan disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Gemencheh.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kemalangan berlaku ketika kereta dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Gemencheh ke Bukit Rokan manakala Perodua Bezza dari Bukit Rokan menghala ke Gemencheh.

"Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan yang dipandu sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Bezza berkenaan.

Iklan

"Akibat kejadian itu, pasangan suami isteri berkenaan disahkan meninggal dunia manakala anak lelaki berusia empat tahun cedera dan dibawa ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Amiruddien berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Iklan

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin di talian 06-441 2502 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Imanul Hassan Mohamad Shah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. - Bernama