KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin meluahkan rasa amat sedih dan terkilan sebaik menerima berita pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang disifatkannya sebagai kehilangan besar buat seluruh rakyat Malaysia.
Menurut Siti Nurhaliza, pemergian Allahyarham bukan sekadar kehilangan seorang tokoh negara, malah kehilangan seorang susuk ibu yang selama ini tidak pernah jemu menitipkan kata-kata semangat, kasih sayang dan inspirasi kepada rakyat.
"Hati saya sangat sedih menerima berita duka ini. Saya merasakan seolah-olah kehilangan seorang ibu yang begitu dekat di hati.
"Tun Hasmah bukan sahaja seorang negarawan yang disegani, tetapi seorang wanita yang sangat lemah lembut, penyayang dan sentiasa membuatkan sesiapa sahaja berasa dihargai apabila berada di samping beliau.
"Sepanjang mengenali Tun, terlalu banyak kenangan yang akan saya simpan selamanya.
"Beliau antara individu yang sentiasa memberi sokongan kepada perjalanan seni saya sejak dahulu lagi. Setiap kata-kata, doa dan galakan yang diberikan menjadi sumber kekuatan untuk saya terus melangkah," kata penyanyi tersohor negara itu kepada Astro AWANI sebentar tadi.
Kata Siti Nurhaliza, keperibadian Allahyarham yang penuh kasih sayang serta kerendahan hati menjadikan beliau disayangi oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan latar belakang.
"Tun Hasmah umpama lambang kasih seorang ibu kepada seluruh rakyat Malaysia. Senyuman, kelembutan tutur kata dan sifat prihatin beliau akan sentiasa dikenang.
"Saya berdoa semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya bersama insan-insan terpilih serta dalam kalangan orang beriman.
"Semoga seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi saat yang amat menyedihkan ini," ujar penyanyi itu lagi.
Bagi Siti Nurhaliza, walaupun jasad Allahyarham telah pergi, segala jasa, kasih sayang dan inspirasi yang ditinggalkan akan terus hidup dalam ingatan rakyat Malaysia buat selama-lamanya.
Kepergian seorang ibu yang dicintai ini pastinya meninggalkan ruang kosong yang sukar diisi, ujarnya lagi. - AWANI