KKM sedia bantu JPA sedia Garis Panduan Kesihatan Mental Perkhidmatan Awam

Iklan
Dzulkefly (tengah) bersama tetamu jemputan menunjukkan buku Garis Panduan Pelaksanaan Perkhidmatan Postvention selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Utama Kolej Poly-Tech Mara Ipoh, pada Isnin.

IPOH - Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia membantu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam menyediakan Garis Panduan Kesihatan Mental Perkhidmatan Awam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kepakaran KKM khususnya dalam bidang kesihatan mental boleh dimanfaatkan bagi menyokong usaha JPA menangani cabaran kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, KKM selaku peneraju bidang kesihatan bersedia memberikan input teknikal serta pandangan pakar bagi membantu pembangunan kedua-dua instrumen berkenaan.

"Pastinya, KKM terpanggil dan sebagai penjaga kesihatan, kami sentiasa mahu memanfaatkan kepakaran pakar rujukan untuk menyokong inisiatif JPA ini.

Iklan

"Terutama input teknikal dan kepakaran kesihatan mental dalam pengendalian isu kesihatan mental yang melibatkan lebih 55,000 penjawat awam," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Utama Kolej Poly-Tech Mara Ipoh pada Isnin.

Iklan

Menurut Dzulkefly, KKM bersedia membantu JPA dalam membangunkan Garis Panduan Kesihatan Mental Perkhidmatan Awam dan indeks kesihatan mental yang dirancang.

"Kami sedia membantu untuk membangunkan kedua-dua indeks dan garis panduan mereka," katanya.

Pada 21 September lalu, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail dilaporkan berkata seramai 55,169 penjawat awam yang menjalani saringan Sistem Profil Digital Kesihatan Psikologi Penjawat Awam (MyPsyD) dikategorikan sebagai berisiko tinggi dalam isu kesihatan mental, termasuk kecenderungan membunuh diri.

Dalam perkembangan sama, Dzulkefly berkata KKM turut melancarkan dua inisiatif baharu berkaitan pencegahan bunuh diri pada tahun ini.

Beliau berkata, antaranya National Suicide and Fatal Injury Registry Malaysia (NSFIRM) yang dibangunkan dengan penglibatan National Centre of Excellence for Mental Health (NCEM) dan Jabatan Forensik.

Katanya, pendaftaran itu penting bagi menyediakan data berkaitan kecederaan maut termasuk kes bunuh diri dan kemalangan.

Menurut Dzulkefly, selain itu pihaknya turut melancarkan Garis Panduan Pelaksanaan Perkhidmatan Postvention bagi memperkukuh pelaksanaan sokongan psikososial dan intervensi selepas kejadian bunuh diri.

Jelasnya, ia khusus bagi membantu keluarga, rakan sekerja, pasangan serta komuniti yang terkesan selepas insiden berkenaan.